Pelajar UPSI ‘tapau’ pentas Dikir Barat RTM 2026

- Advertisement / Iklan -
Pelajar muzik UPSI bawa Kala Maharaja PKINK muncul juara, sapu tiga anugerah di pentas kebangsaan

SEORANG pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencuri perhatian apabila berjaya muncul juara kategori Kumpulan Lelaki dalam Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

Kejayaan itu diraih,pelajar Sarjana Muda Pendidikan (Muzik), Wan Mohamad Faris Aidil Wan Kamaluzaman yang tampil bersama kumpulan Kala Maharaja PKINK dari Kelantan dalam pertandingan yang berlangsung di Angkasapuri pada 25 April lalu.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu pencapaian yang cukup membanggakan buat universiti.

Menurut beliau, kejayaan itu membuktikan pelajar UPSI bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menyerlah dalam bidang seni dan budaya di pentas besar.

- Advertisement / Iklan -

Bukan sekadar bergelar juara, kumpulan tersebut turut membawa pulang Anugerah Tok Jogho Terbaik dan Tukang Karut Terbaik hasil keserasian mantap dalam kalangan 25 ahlinya termasuk pemain simpanan.

Kumpulan itu dibimbing jurulatih berpengalaman, Mohd Faizul Ya atau lebih dikenali sebagai Joe Ranjuna, yang mengemudi latihan intensif dari peringkat saringan hingga ke pentas akhir.

- Advertisement / Iklan -

Dalam masa sama, Dr. Md Amin berkata kejayaan itu mencerminkan usaha berterusan UPSI dalam memperkasa seni persembahan sebagai ruang pembangunan bakat pelajar secara menyeluruh.

“Penglibatan dalam seni dan budaya bukan sahaja membentuk jati diri, malah menguatkan identiti warisan bangsa,” katanya.

Beliau turut berharap pencapaian itu mampu menjadi pembakar semangat kepada lebih ramai pelajar untuk aktif dalam bidang seni serta terus memartabatkan budaya tradisional negara.

“Kejayaan ini boleh jadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus memelihara seni warisan supaya kekal relevan sepanjang zaman,” ujarnya.