KONFLIK Iran-Amerika Syarikat di Asia Barat yang tercetus pada April 2026 menjadi penanda aras kepentingan bidang geografi dalam mempengaruhi aktiviti ekonomi global.
Dalam dunia yang semakin kompleks dan saling bergantung antara satu dengan yang lain, geografi muncul sebagai bidang penting dalam menentukan pergerakan ekonomi global.
Laluan fizikal seperti selat, pelabuhan dan koridor perdagangan bukan sahaja menggerakkan aliran barangan dan tenaga, malah mampu menjadi medan perantara yang memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi dunia.
Namun ironinya, dalam sistem pendidikan negara, subjek geografi semakin dipinggirkan kerana dianggap sudah tidak relevan dengan keperluan semasa.
Selat Hormuz yang dikawal oleh Iran merupakan contoh jelas bagaimana pengetahuan dalam bidang geografi membantu masyarakat memahami pergolakan yang sedang berlaku dalam dunia hari ini.
Kedudukan selat yang bersempadan terus dengan perairan Iran ini merupakan contoh paling jelas bagaimana lokasi geografi boleh dijadikan sebagai senjata untuk memberi tekanan kepada ekonomi global.
Kedudukan Iran di laluan utama eksport minyak global ini memberikan kelebihan geopolitik yang mampu mempengaruhi pasaran dunia melalui ancaman atau sekatan laluan perkapalan.
Tindakan ini memberi kesan serta-merta kepada peningkatan harga tenaga global.
Kesan ekonomi daripada gangguan geografi ini bukan sahaja terhad kepada harga minyak, malah mencetuskan rantaian kesan yang lebih luas.
Lonjakan harga tenaga akan meningkatkan kos pengeluaran industri, seterusnya menaikkan harga barangan pengguna.
Dalam sektor pengangkutan, syarikat perkapalan terpaksa menanggung kos insurans lebih tinggi dan mengubah laluan ke kawasan yang lebih jauh, memanjangkan tempoh penghantaran dan meningkatkan kos logistik global.
Keadaan ini akhirnya menyumbang kepada inflasi yang menekan pengguna di seluruh dunia.
Lebih membimbangkan, gangguan geografi ini turut mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan. Lonjakan harga komoditi seperti minyak, baja dan logam memberi kesan kepada sektor pertanian, pembinaan dan pembuatan.
Negara pengimport makanan terpaksa berdepan peningkatan kos sara hidup, manakala negara membangun menjadi lebih terdedah kepada krisis bekalan.
Lokasi geografi juga menentukan ketidakseimbangan ekonomi antara negara.
Negara yang bergantung kepada satu laluan perdagangan menjadi lebih terdedah kepada krisis, seperti negara-negara Teluk yang bergantung kepada Selat Hormuz untuk eksport minyak dan import makanan.
Sebaliknya, negara tanpa pantai menghadapi kekangan struktur yang mengehadkan akses kepada perdagangan global, menjadikan kos import lebih tinggi dan pembangunan ekonomi lebih perlahan.
Dalam menghadapi risiko ini, banyak negara terpaksa melakukan penstrukturan semula ekonomi secara fizikal.
Pelaburan berbilion dolar dalam pembinaan saluran paip, pelabuhan baharu dan laluan alternatif dilakukan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sesuatu lokasi geografi.
Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, misalnya, membangunkan laluan eksport alternatif bagi memastikan kelangsungan bekalan tenaga. Ini membuktikan bahawa geografi bukan sahaja mempengaruhi ekonomi, malah memaksa perubahan struktur ekonomi global.
Namun, di sebalik kepentingan besar ini, bidang geografi dalam sistem pendidikan negara ini masih tidak diberi perhatian sewajarnya. Subjek geografi tidak ditawarkan secara khusus dalam kurikulum pada peringkat sekolah rendah, menyebabkan pelajar tidak mendapat pendedahan awal tentang kepentingannya.
Manakala, status bidang geografi di peringkat menengah atas sebagai subjek elektif menyebabkan minat pelajar untuk mengambil subjek ini semakin menurun.
Keadaan ini semakin meruncing apabila sistem aliran dan pakej mata pelajaran digunakan menyebabkan bidang geografi semakin terpinggir.
Proses menjumudkan bidang geografi secara berterusan ini akhirnya membentuk persepsi masyarakat yang menganggap geografi sebagai subjek tidak relevan dengan perkembangan ekonomi semasa.
Hakikatnya, bidang seperti perancangan bandar, pengurusan bencana, analisis perubahan iklim, logistik global dan teknologi seperti GIS sangat bergantung kepada pengetahuan asas dalam bidang geografi.
Tegasnya, terdapat percanggahan ketara antara kepentingan geografi di peringkat global dengan kedudukannya dalam sistem pendidikan negara.
Ketika dunia mengiktiraf geografi sebagai faktor utama dalam menentukan kestabilan ekonomi, sistem pendidikan pula seolah-olah meminggirkannya.
Jika keadaan ini berterusan, negara berisiko melahirkan generasi yang kurang memahami realiti ekonomi global.
Justeru, reformasi kurikulum dan perubahan persepsi masyarakat amat diperlukan agar bidang geografi kembali diangkat sebagai disiplin ilmu yang relevan dengan cabaran masa depan.
* Prof Madya Dr Kamarul Ismail ialah Pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI