Permit kerja panas, perlu tegas untuk pastikan kampus selamat

- Advertisement / Iklan -

KEJADIAN seorang maut manakala sembilan lagi cedera akibat letupan pemampat penghawa dingin di kafeteria salah sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, baru-baru ini menjadi peringatan pahit menunjukkan bahawa keselamatan tidak boleh dikompromi, walaupun kerja kelihatan rutin, risiko tetap tinggi jika kawalan keselamatan diabaikan.

Insiden letupan yang berlaku ini bukan sekadar satu kemalangan teknikal, malah ia adalah 'amaran merah' buat seluruh institusi pendidikan tinggi di Malaysia.

Kejadian ini menimbulkan persoalan besar mengenai tahap pentaksiran risiko, pemantauan keselamatan dan pelaksanaan permit kerja panas di bangunan awam terutama sekolah dan kampus kolej dan universiti.

Hal ini wajar diambil serius kerana institusi seperti sekolah, kolej dan kampus universiti bukan sahaja menempatkan pekerja dan kakitangan, tetapi juga kanak-kanak dan pelajar yang merupakan golongan lebih terdedah kepada risiko.

- Advertisement / Iklan -

Mereka tidak terlibat secara langsung dengan kerja penyelenggaraan dan lazimnya tidak menyedari bahaya yang sedang berlaku di sekeliling.

Kerja panas di sekolah dan universiti: Risiko tidak boleh dipandang ringan

- Advertisement / Iklan -

Kerja panas (Hot work) biasanya dikaitkan dengan tapak pembinaan dan kilang, tetapi ia juga wujud dalam penyelenggaraan bangunan harian. Ia merujuk kepada aktiviti yang melibatkan penggunaan api terbuka, percikan, atau haba tinggi seperti kimpalan, pemotongan, dan pengisaran.

Dalam konteks penyelenggaraan penghawa dingin, ramai yang menyangka kerja penyelenggaraan hanyalah sekadar mencuci penapis atau menambah gas.

Hakikatnya, proses seperti brazing (pampatan menggunakan api) atau memotong paip tembaga melibatkan penggunaan gas mudah terbakar seperti oksigen-asetilena.

Apabila gas ini bertindak balas dengan bahan kimia dalam sistem penyejukan atau berlaku kebocoran pada silinder gas di ruang tertutup, risiko letupan atau kebakaran meningkat secara mendadak.

Oleh itu, aktiviti seperti ini boleh dikategorikan dalam aktiviti kerja panas dan permit kerja panas perlu diperoleh sebelum melakukan kerja.

Tanpa permit kerja panas, aktiviti seperti penyelenggaraan aircond atau pengendalian silinder gas bertekanan boleh mengancam keselamatan pelajar, guru, kakitangan universiti, dan kontraktor itu sendiri.

Permit kerja panas: Mekanisme kawalan kritikal

Permit kerja panas (Hot Work Permit) bukanlah sekadar borang malah ia merupakan mekanisme kawalan keselamatan utama yang memastikan semua kerja panas dijalankan secara selamat dan terkawal.

Sistem Hot Work Permit adalah dokumen rasmi yang menggariskan jenis kerja yang dibenarkan, langkah kawalan keselamatan, tanggungjawab pihak terlibat, serta syarat sebelum, semasa dan selepas kerja dilaksanakan.

Antara elemen keselamatan kerja panas meliputi:

* Pentaksiran risiko: Sebelum kerja panas dimulakan, pentaksiran risiko adalah wajib. Proses ini mengenal pasti bahaya, menilai tahap risiko dan menetapkan kawalan.

Kontraktor boleh menggunakan kaedah penilaian risiko seperti Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC) dan haruslah memastikan semua langkah kawalan telah dilaksanakan sebelum kerja dimulakan.

* Pengasingan kawasan dan waktu kerja: Memastikan kawasan kerja diasingkan, tiada bahan mudah terbakar (kertas, perabot, bahan kimia) di kawasan terdekat, alat pemadam api tersedia, dan silinder gas dikendalikan dengan selamat.

Pihak penyelia bangunan perlu menentukan sama ada kerja boleh dilakukan pada waktu tertentu, mengikut tahap risiko dan kehadiran orang awam terutamanya staf dan pelajar.

Dalam beberapa kes, kerja panas wajar dijadualkan di luar waktu operasi untuk mengurangkan pendedahan risiko.

* Kesiapsiagaan Kecemasan: Alat pemadam api jenis yang betul mestilah berada di berdekatan pekerja. Seseorang yang bertugas sebagai pemerhati kebakaran (fire watcher) adalah perlu untuk memantau percikan api semasa dan selepas kerja tamat.

* Pemantauan keselamatan: Dilakukan oleh penyelia kompeten semasa kerja berlangsung dan pemeriksaan kawasan selepas kerja selesai. Permit kerja panas ini hanya boleh ditutup apabila kawasan disahkan selamat sepenuhnya.

* Latihan Berasaskan Kerja: Latihan keselamatan berasaskan kerja, termasuk pengendalian silinder gas, prosedur kecemasan dan langkah keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di premis adalah wajib diberikan kepada kontraktor dan pekerja.

Latihan ini meningkatkan kesedaran dan mengurangkan kecuaian.

Peranan tegas pengurusan institusi pendidikan

Setiap aset penghawa dingin perlu diselenggara mengikut jadual tanpa mengabaikan aspek keselamatan. Pihak pengurusan institusi pendidikan tidak boleh lepas tangan dengan menyerahkan semua tanggungjawab kepada kontraktor.

Budaya"janji siap, janji murah" perlu dihentikan. Pihak universiti atau kolej seharusnya hanya melantik kontraktor yang mempunyai sijil CIDB dan terlatih dalam aspek KKP (OSH).

Pihak institusi juga boleh melantik Jawatankuasa Keselamatan atau Jawatankuasa Kuasa Keselamatan Universiti dan orang yang kompeten seperti Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Safety and Health Officer (SHO)) atau OSH coordinator (OSH C) dan memberi kuasa penuh kepada mereka untuk memantau dan menghentikan kerja serta-merta jika Permit Kerja Panas tidak dipatuhi.

Insiden seperti ini mampu dielakkan jika semua pihak mengambil berat isu ini.

Jadikan insiden ini sebagai titik kilas untuk kita tidak lagi berkompromi dengan aspek keselamatan kontraktor.

Jangan tunggu insiden berikutnya berlaku. Tindakan sekarang menjamin kampus yang lebih selamat untuk semua.

* Aisha Warshaf ialah Pensyarah, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan & Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO), MSU