“CARA terbaik untuk meramal masa depan adalah dengan menciptanya.” demikianlah kata tokoh sains komputer terkenal, Alan Kay.
Hakikatnya, ia menatijahkan bahawa dunia hari ini sedang bergerak dengan begitu pantas sehingga sempadan antara teknologi, industri dan pendidikan semakin kabur.
Revolusi kecerdasan buatan (AI), automasi, Internet of Things (IoT), ekonomi digital dan pembuatan pintar bukan lagi sekadar ramalan masa depan, tetapi sedang membentuk realiti baharu dunia pekerjaan global.
Dalam keadaan ini, negara yang gagal membina bakat masa depan akan berdepan risiko kehilangan daya saing, manakala negara yang berjaya melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi pula akan muncul sebagai peneraju ekonomi baharu dunia.
Justeru, pendidikan tinggi tidak lagi boleh bergerak secara konvensional atau sekadar melahirkan graduan berorientasikan teori semata-mata.
Universiti perlu menjadi medan strategik yang membina bakat future-ready, memperkukuh inovasi, menyelesaikan masalah industri dan menjadi game-changer kepada pembangunan negara.
Sebab itu, agenda pendidikan tinggi hari ini tidak boleh dipisahkan daripada keperluan industri, pembangunan teknologi dan kelangsungan ekonomi negara pada masa hadapan.
Dalam konteks Malaysia, kerajaan melalui pelbagai dasar strategik seperti Ekonomi Madani, agenda pemerkasaan TVET negara dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 telah memberikan fokus besar terhadap pembangunan modal insan berteknologi tinggi dan berorientasikan industri.
Penekanan terhadap bidang strategik seperti kecerdasan buatan, semikonduktor, aeroangkasa, robotik, teknologi hijau dan pembuatan termaju memperlihatkan bahawa negara sedang menyusun langkah untuk membina ekosistem ekonomi bernilai tinggi yang memerlukan bakat premium dan tenaga kerja berkepakaran tinggi.
Dalam mendepani cabaran tersebut, Malaysian Technical University Network (MTUN) kini semakin menyerlah sebagai pemacu utama pembangunan bakat teknikal negara. MTUN yang menghimpunkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bukan lagi sekadar kelompok universiti teknikal biasa, sebaliknya berkembang sebagai ekosistem pendidikan tinggi strategik yang melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selari dengan keperluan industri masa depan.
Apa yang lebih menarik, keyakinan industri terhadap MTUN hari ini bukan lagi bersifat persepsi, tetapi dibuktikan melalui data kebolehpasaran graduan yang amat memberangsangkan.
Institusi dalam rangkaian MTUN kini mencatat kadar kebolehpasaran graduan yang sangat tinggi sehingga menjadikan graduannya semakin menjadi rebutan majikan.
Sebagai contoh, UTeM merekodkan kadar bekerja graduan (GE) sebanyak 99.2 peratus bagi tahun 2025, manakala kadar kebolehpasaran graduan (GM) mencapai 98.7 peratus.
Lebih membanggakan, graduan yang bekerja dalam bidang pengajian masing-masing turut meningkat kepada 70.1 peratus.
Trend sama turut dipamerkan oleh UniMAP yang mencatat kadar bekerja graduan sebanyak 99.3 peratus dan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 99.4 peratus pada tahun 2025.
Pencapaian ini memperlihatkan bahawa graduan universiti teknikal kini semakin diyakini industri kerana memiliki gabungan kompetensi teknologi, kemahiran praktikal serta keupayaan menyelesaikan masalah sebenar di tempat kerja.
Dalam masa yang sama, UMPSA pula terus memperkukuh reputasi di peringkat antarabangsa menerusi pencapaian ranking dunia dan pengukuhan jaringan industri global.
Keupayaan universiti teknikal Malaysia menembusi penarafan antarabangsa membuktikan bahawa institusi TVET negara kini mampu bersaing di pentas global serta melahirkan bakat yang bukan sahaja relevan untuk pasaran tempatan, malah mempunyai daya saing antarabangsa.
Tidak kurang hebatnya, UTHM terus mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang TVET dan inovasi apabila diiktiraf sebagai penerima UNESCO Chair bagi kompetensi pendidik TVET serta menerima pengiktirafan Employers’ Choice University.
Pengiktirafan sebegini memperlihatkan tahap keyakinan tinggi majikan terhadap graduan universiti teknikal negara serta membuktikan bahawa pendekatan pendidikan berasaskan industri yang dibawa MTUN semakin mendapat tempat dalam ekosistem pekerjaan semasa.
Hakikatnya, kekuatan sebenar MTUN terletak pada pendekatan pendidikan yang lebih dekat dengan realiti industri. Dalam era ekonomi berasaskan teknologi, industri tidak lagi hanya mencari graduan yang cemerlang secara teori, tetapi memerlukan individu yang mampu bekerja dengan teknologi sebenar, memahami operasi industri, berfikir secara kritikal, menyelesaikan masalah dan beradaptasi dengan perubahan pantas dunia pekerjaan.
Justeru, pendekatan pembelajaran berasaskan amali, latihan industri, pensijilan profesional serta kolaborasi strategik bersama industri menjadikan graduan MTUN lebih “industry-ready” dan mempunyai nilai tambah yang tinggi.
Lebih penting, kejayaan MTUN juga membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan teknikal dan TVET.
Jika suatu ketika dahulu pendidikan teknikal sering dianggap sebagai pilihan kedua, hari ini landskap itu berubah sepenuhnya.
Dunia kini memerlukan lebih ramai jurutera, saintis data, pakar AI, pakar automasi, pakar teknologi hijau dan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menjadi tulang belakang kepada transformasi industri masa depan.
Dalam banyak keadaan, golongan inilah yang sebenarnya akan menentukan keupayaan sesebuah negara untuk terus berdaya saing dalam ekonomi global.
Akhirnya, apabila industri sendiri semakin memilih graduan MTUN, mesejnya cukup jelas bahawa pendidikan teknikal bukan lagi sekadar alternatif, tetapi merupakan laluan strategik masa depan negara.
Dalam dunia yang bergerak pantas dan kompetitif, negara yang berjaya bukanlah negara yang paling banyak bercakap tentang masa depan, tetapi negara yang paling pantas menyediakan bakat untuk menghadapinya.
Pada hari ini, MTUN sedang membuktikan bahawa Malaysia memiliki ekosistem pendidikan teknikal yang bukan sahaja relevan, malah semakin menjadi pilihan utama industri.
* Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin ialah Naib Canselor UTeM merangkap Pengerusi MTUN