SUATU ketika dahulu, ramai ibu bapa hanya membayangkan empat kerjaya untuk anak-anak mereka iaitu doktor, jurutera, peguam dan akauntan.
Dalam fikiran masyarakat ketika itu, hanya empat profesion itulah yang mampu memberi jaminan anak-anak mendapat jaminan kerjaya dan bergaji besar.
Laluan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) pula sering dianggap pilihan terakhir, manakala juruteknik dilihat sebagai pekerja kolar biru dan bukannya golongan profesional.
Persepsi itu kini semakin tidak relevan. Tahun ini, politeknik menerima kira-kira 32,000 pelajar, iaitu lebih 8,000 orang melebihi 24,000 tempat yang disediakan pada asalnya.
Sambutan itu membuktikan bahawa TVET semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, seiring perubahan cara anak muda belajar dan keperluan industri yang semakin rencam.
Cara belajar telah berubah. Kita kini kurang membaca buku secara konvensional, tetapi itu tidak bermakna kita tidak belajar. Kalau ditanya, anak-anak sekarang belajar daripada TikTok dan YouTube. Ramai antara mereka bersifat kinestetik, iaitu belajar melalui tindakan.
TVET menawarkan pembelajaran secara praktikal yang sesuai dengan gaya tersebut, iaitu melihat, memerhati dan kemudian mencuba sendiri. Fenomena itu, tambahnya, bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia termasuk China dan Afrika.
Tiga laluan selepas tamat pengajian
Untuk rekod, PolyCC kini menaungi 36 politeknik dan 91 kolej komuniti di seluruh negara.
Program yang ditawarkan merangkumi Sijil dan Sijil Khas Kemahiran Khas, Asasi Teknologi Kejuruteraan, Diploma, hingga Ijazah Sarjana Muda.
Ekosistem tersebut direka bentuk untuk menyediakan pelajar kepada tiga laluan selepas tamat pengajian, iaitu bekerja, menyambung pengajian atau bekerja sendiri sebagai usahawan.
Kurikulum, kokurikulum dan proses pembelajaran kita memang direka bentuk begitu. Sebab itulah kita menerima pelbagai lapisan pelajar, dan program yang ditawarkan juga merentas pelbagai bidang, daripada kejuruteraan dan teknologi hinggalah perniagaan, hospitaliti, pelancongan dan logistik.
Sebagai contoh, pelajar kolej komuniti di peringkat sijil boleh menyambung pengajian ke peringkat diploma di politeknik dan seterusnya ke universiti.
Mereka yang memilih untuk bekerja pula boleh meningkatkan pendapatan melalui pensijilan profesional atau kompetensi tertentu. Bagi yang memiliki kemahiran seperti dandanan rambut atau pembuatan roti (bakeri), katanya, mereka boleh memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, termasuk dari rumah.
Kebolehpasaran 98 peratus, gaji permulaan masih cabaran
Mengulas kebolehpasaran graduan, kadarnya melebihi 95 peratus sejak lima tahun lepas dan kini mencecah kira-kira 98 peratus bagi kedua-dua politeknik dan kolej komuniti.
Secara umumnya, perkara ini tidak dipersoalkan kerana sifat pembelajaran kita yang praktikal membolehkan graduan mudah menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui dua cabaran masih wujud. Pertama, hanya kira-kira 60 peratus graduan bekerja dalam bidang pengajian mereka.
Kedua, gaji permulaan bagi bidang tertentu masih sekitar RM1,900 hingga RM2,000, iaitu sedikit melebihi gaji minimum.
Sekiranya boleh, kita mahu graduan diploma memperoleh gaji permulaan melebihi RM2,500, apatah lagi apabila kita melihat peningkatan kos sara hidup.
Isu bekerja dalam bidang, jelas beliau, menjadi kebimbangan kerajaan. Pelaburan besar telah dibuat bagi bidang seperti kejuruteraan elektrik dan elektronik serta kejuruteraan awam, berdasarkan unjuran keperluan tenaga kerja negara.
Apabila mereka keluar dengan sijil atau diploma dalam sesuatu bidang tetapi tidak bekerja dalam bidang itu, ini merupakan satu kerugian kepada kerajaan.
Golongan separa profesional paling diperlukan industri
Dunia pekerjaan hari ini jauh lebih rencam berbanding persepsi lama yang hanya mengangkat beberapa profesion tertentu.
Dalam bidang kejuruteraan misalnya, terdapat jurutera berijazah di peringkat atas dan juruteknik di peringkat pertengahan. Industri, katanya, sebenarnya memerlukan lebih ramai tenaga kerja di peringkat pertengahan berbanding jurutera.
Golongan pertengahan bukan bermakna mereka tidak mahir. Mereka golongan mahir, cuma istilahnya separa profesional. Golongan ini lebih tangkas dan lebih mudah menyesuaikan diri. Dahulu, kalau dia (graduan politeknik) bekerja, dia bekerja sahaja.
Sekarang, dengan kemahiran yang ada, mereka juga boleh membuat kerja sambilan dan kerja bebas (gig).
Tambah beliau, dalam era ekonomi gig di mana pekerjaan bersifat bebas, kontrak dan tugasan khusus, golongan ini mempunyai lebih banyak peluang. Keadaan itu selari dengan sifat generasi muda hari ini yang mahukan kebebasan dan tidak mahu dikongkong.
Peluang kedua untuk pelajar aliran sastera
Antara langkah paling ketara PolyCC ialah melonggarkan syarat kemasukan ke program kejuruteraan termasuk program elektrik dan elektronik (E&E), susulan permintaan tenaga kerja yang tinggi dalam industri tersebut termasuk sektor semikonduktor.
Sebelum ini, calon perlu memperoleh kepujian Matematik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selepas perbincangan dengan Lembaga Jurutera Malaysia, syarat itu dilonggarkan kepada lulus sahaja, dengan syarat pelajar mengambil dan lulus Matematik pemulihan pada semester pertama.
Dahulu, sembilan program kejuruteraan ini, elektrik dan elektronik ini hanya diisi oleh lebih 1,000 pelajar. Apabila syarat diturunkan, lebih 5,000 tempat penuh.
Daripada lebih 1,000 pelajar tersebut tahun lepas, tiada seorang pun yang gagal. Keadaan itu membuktikan pelajar aliran sastera bukan tidak berminat terhadap bidang teknikal, sebaliknya tidak memenuhi syarat kelayakan.
Statistik PolyCC yang dikongsi beliau menunjukkan kira-kira 80 peratus lepasan SPM yang memasuki politeknik dan kolej komuniti datang daripada aliran sastera, dan 60 peratus daripada mereka mengikuti program kejuruteraan dan teknologi.
Sistem politeknik dan kolej komuniti telah memberikan peluang kedua kepada anak-anak kita untuk berkecimpung dalam bidang STEM, teknologi dan perindustrian,” jelas Dr. Shmasuri lagi.
Sebahagian pelajar tersebut disifatkan sebagai golongan yang lambat menyerlah. Ramai antara mereka hanya menyedari kepentingan pelajaran selepas melihat rakan sebaya melangkah lebih jauh.
Penilaian di politeknik dan kolej komuniti, jelasnya, tidak bergantung semata-mata pada peperiksaan akhir, sebaliknya turut merangkumi kuiz, tugasan dan projek.
Apabila kita bertanya kepada industri, mereka mahu tahu sama ada pelajar itu boleh membuat kerja dan berprestasi. Mereka tidak hanya melihat berapa PNGK pelajar tersebut.
Sebagai contoh bidang pelancongan yang lazimnya menawarkan gaji permulaan yang biasa. Namun, graduan yang berprestasi baik lazimnya dinaikkan gaji dalam tempoh dua hingga tiga bulan.
Asasi Teknologi Kejuruteraan laris seperti goreng pisang panas
PolyCC mula menawarkan program asasi pada 2023. Ketika permohonan akreditasi dikemukakan, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menilai kurikulumnya lebih tinggi daripada program TVET biasa, lalu program itu dikenali sebagai Asasi Teknologi Kejuruteraan.
Pada peringkat awal, sebanyak 500 tempat ditawarkan di lima politeknik. Tahun lepas, lima lagi politeknik turut menawarkannya, menjadikan jumlah tempat kira-kira 1,000.
Sambutannya di luar jangkaan. Kira-kira 3,000 calon lepasan SPM meletakkan program itu sebagai pilihan pertama dalam UPU, manakala jumlah pemohon sehingga pilihan ke-12 mencecah kira-kira 14,000 orang.
Macam pisang goreng panas. Rupa-rupanya ibu bapa sudah sedar lebih awal daripada kita bahawa aliran ini merupakan laluan terpantas ke universiti.
Setahun di asasi, terus masuk universiti. Sebelum ini, pelajar perlu dua tahun di peringkat sijil dan tiga tahun di peringkat diploma sebelum boleh menyambung pengajian.
Peningkatan permohonan turut didorong oleh promosi agresif di media sosial serta pengalaman senior yang dikongsi dari mulut ke mulut.
PolyCC juga memilih pendekatan lautan biru. Daripada kira-kira 400,000 calon SPM, hanya sekitar 90,000 daripada aliran sains, dan kumpulan itu turut menjadi rebutan universiti.
Justeru, PolyCC menyasarkan lebih 200,000 calon lain yang selama ini kurang diberi perhatian.
Pendidikan teknikal dan profesional
Melangkah ke hadapan, PolyCC mahu memposisikan politeknik dan kolej komuniti melalui pendekatan yang dinamakan Pendidikan Teknikal dan Profesional.
Pendekatan itu mempunyai tiga ciri utama. Pertama, pelajar dan pensyarah perlu menerima teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT) dan pencetakan 3D.
Kedua, graduan perlu memiliki pensijilan berbilang, iaitu bukan sekadar diploma tetapi juga sijil profesional dalam bidang berkaitan.
Misalnya, graduan bidang rangkaian boleh melengkapkan diri dengan pensijilan industri daripada syarikat teknologi antarabangsa.
Ketiga dan yang dianggapnya sama penting, ialah aspek nilai, etika, integriti dan profesionalisme.
Apa gunanya kalau kemahiran kita tinggi, tetapi masalah rasuah masih berlaku? Sebab itu, nilai sama pentingnya. Gabungan ketiga-tiga ciri itu, tambah beliau, akan melahirkan teknokrat, juruteknik dan teknologis yang mampu mendepani perubahan industri dan teknologi pada masa hadapan.
Beliau turut berkongsi pengalamannya bertemu tiga alumni ketika melawat Kolej Komuniti Segamat.
Seorang telah menamatkan ijazah dan bekerja, seorang lagi menyambung pengajian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), manakala seorang lagi lepasan sijil elektrik ditaja majikannya untuk mengikuti kursus chargeman selama setahun, lalu gajinya meningkat RM700.
Sijil itu memberikan titik permulaan. Selepas itu, terpulang kepada mereka sama ada mahu menyambung pengajian, bekerja sambil belajar secara sambilan, atau menambah pensijilan kompetensi.
Latihan industri dan keupayaan belajar sendiri
Selain projek tahun akhir, setiap pelajar politeknik dan kolej komuniti perlu menjalani latihan industri sekurang-kurangnya enam bulan. Sesetengah program pula dilaksanakan secara lebih berstruktur melalui Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL).
Sangat kagum dengan keupayaan pelajar menguasai teknologi baharu secara kendiri. Ketika meninjau projek tahun akhir, seorang pelajar kejuruteraan mencadangkan reka bentuk jalan baharu dalam kampus menggunakan perisian multimedia yang tidak diajar dalam kursusnya.
Dia belajar sendiri. Projek lain pun sama, termasuk projek AI yang memerlukan pelajar menguasai teknologi secara kendiri melalui YouTube dan TikTok.
Anak-anak muda kita sudah sampai ke tahap itu. Saya menolak pandangan bahawa sijil kolej komuniti tidak lagi relevan. Tidak semua pelajar berpeluang memasuki universiti secara terus dan kolej komuniti menjadi tempat mereka membina asas, walaupun perjalanan itu mungkin lebih panjang.
Pendedahan yang luas, tambahnya, turut menyebabkan ada graduan ditawarkan pekerjaan di Singapura dan negara lain.
Pelajar hari ini lebih berani meneroka peluang berbanding generasi terdahulu. Maklumat semuanya di hujung jari. Persoalannya, sama ada mereka mahu mengambil peluang itu atau tidak.
AI melengkapi, bukan mengambil alih
Mengenai kebimbangan bahawa AI akan mengambil alih tugas manusia, Dr. Shamsuri memilih pendekatan sederhana. Gelombang AI, katanya, tidak dapat dibendung, namun manusia yang mencorakkan penggunaannya.
PolyCC kini menawarkan sekurang-kurangnya tiga subjek elektif berkaitan AI. Kajian lapangan yang diarahkan beliau mendapati kira-kira 80 peratus pensyarah dan pelajar menggunakan AI generatif.
Persoalannya sekarang bukan guna atau tidak, tetapi sejauh mana AI membantu pengajaran dan pembelajaran.
Kita tidak mahu mereka terlalu bergantung sehingga tidak menggunakan akal fikiran. Ia seperti bergantung sepenuhnya pada kalkulator. Jika satu tambah satu memaparkan jawapan tiga, pengguna tetap menulis tiga tanpa menyemak semula.
Teknologi baharu perlu digunakan mengikut kesesuaian tujuan, bukan kerana semua orang menggunakannya.
Keusahawanan dan kemahiran insaniah
Subjek keusahawanan diwajibkan kepada semua pelajar tanpa mengira bidang, disokong kelab, program dan hari usahawan melalui kokurikulum. Kira-kira sembilan peratus graduan menceburi bidang keusahawanan.
Kalau mereka tidak menjadi usahawan sekalipun, ciri seperti berdaya usaha, proaktif dan inovatif tetap diperlukan oleh setiap pekerja, tidak kira pada peringkat mana.
Pelajar turut didedahkan kepada pelbagai sektor melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan, termasuk Bursa Malaysia bagi pendedahan pasaran saham dan persatuan pengarah filem bagi bidang penerbitan.
Bidang yang wajar dipilih lepasan SPM, ialah E&E, logistik dan pelancongan yang menjadi bidang yang rancak ketika ini. Namun, minat dan potensi diri tetap perlu menjadi asas pilihan. Saya juga menekankan kepentingan kemahiran insaniah kepada para pelajat PolyCC dan kolej komuniti.
Kebanyakan kemahiran utama dalam tinjauan tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) terhadap majikan ialah kemahiran insaniah seperti membuat keputusan, berunding dan kreativiti. Akademik itu satu hal, dan mereka perlu cemerlang. Namun, mereka juga perlu menyertai kelab dan persatuan. Di situlah terbentuknya ciri kepimpinan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa peluang yang banyak menjadikan sebahagian graduan terlalu memilih. Ada yang menolak tawaran gaji RM3,500 dalam bidang E&E semata-mata kerana enggan berpindah ke Pulau Pinang.
Kalau dalam tempoh dua atau tiga bulan selepas bergraduat belum mendapat kerja dalam bidang, ambil dahulu apa sahaja peluang. Di situlah mereka membina pengalaman.
Sasaran 500,000 pelajar menjelang 2030
Enrolmen semasa PolyCC kini mencecah 114,000 pelajar, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun. Jabatan itu menyasarkan 500,000 pembelajar menjelang 2030.
Dalam mod biasa, kita tidak akan capai sasaran itu. Jadi, kita perlu bergerak secara hibrid dan dalam talian.
Untuk itu, PolyCC memperkenalkan Pembelajaran Jarak Jauh Maya Dalam Talian (OVDL).
Sebagai perintis, program Diploma Logistik di Politeknik METrO Johor Bahru akan ditawarkan sepenuhnya secara OVDL tahun depan. Jika berjaya, pendekatan itu akan diperluas.
Dari aspek keterangkuman, PolyCC turut menerima pelajar orang kurang upaya (OKU) melalui 13 program di politeknik dan kolej komuniti tertentu, termasuk bagi pelajar kurang pendengaran dan bermasalah pembelajaran.
Pelajar OKU juga boleh mengikuti program arus perdana. Pada Januari lalu, saya menggariskan 13 iltizam jabatan ini bagi tahun 2026. Salah satunya ialah memastikan tiada pelajar yang tertinggal.
Kita berharap pelajar daripada pelbagai latar belakang dapat belajar dalam suasana yang selesa dan menyeronokkan.
Akhirnya, mereka menjadi warganegara berguna yang menyumbang kepakaran kepada industri dan institusi, seterusnya kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara.
* Dr. Shamsuri Abdullah ialah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC)