Doxing: Bila media sosial bertukar menjadi senjata

- Advertisement / Iklan -
Kebebasan bersuara yang dinikmati dalam era digital hari ini tidak seharusnya disalah tafsir sebagai kebebasan mutlak tanpa batas.

KEBEBASAN bersuara yang dinikmati dalam era digital hari ini tidak seharusnya disalah tafsir sebagai kebebasan mutlak tanpa batas.

Media sosial bukan medan untuk menghukum, apatah lagi menjadi senjata bagi mencederakan keselamatan dan maruah individu lain.

Namun, mutakhir ini, fenomena doxing semakin membimbangkan dan menuntut perhatian serius semua pihak.

Doxing, atau doxxing, merupakan salah satu bentuk gangguan dalam talian atau online harassment yang semakin ketara dalam landskap digital masa kini.

- Advertisement / Iklan -

Ia merujuk kepada perbuatan menyebarkan maklumat peribadi seseorang ke ruang awam digital tanpa kebenaran, lazimnya dengan niat jahat.

Maklumat seperti alamat kediaman, nombor telefon, nombor pengenalan diri, tempat kerja serta butiran keluarga didedahkan kononnya atas nama pendedahan atau keadilan, sedangkan kesannya amat merbahaya.

- Advertisement / Iklan -

Sebagai salah satu kategori online harassment, doxing sering digunakan sebagai alat untuk mengugut, mengintimidasi dan menekan mangsa secara psikologi.

Tidak seperti kritikan terbuka atau perbezaan pandangan, doxing melibatkan pencerobohan privasi yang disengajakan, sekali gus mendedahkan mangsa kepada risiko gangguan berpanjangan serta ancaman keselamatan di dunia nyata.

Lebih membimbangkan, budaya menghukum di media sosial semakin dianggap normal.

Apabila seseorang dilihat bersalah di mata warganet, maklumat peribadinya mula disebarkan secara terbuka tanpa mengambil kira kesan jangka panjang terhadap dirinya dan keluarga.

Dalam keadaan ini, emosi mengatasi rasional, manakala undang-undang diketepikan demi kepuasan segera.

Pada peringkat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut mengiktiraf online harassment sebagai ancaman serius terhadap hak asasi manusia dan keselamatan individu.

Melalui laporan agensi seperti UNESCO dan UN Women, gangguan dalam talian termasuk doxing dikenal pasti sebagai bentuk keganasan digital yang boleh menjejaskan kebebasan bersuara, keselamatan peribadi serta kesejahteraan psikologi mangsa.

Pendirian antarabangsa ini selari dengan ketegasan pihak berkuasa negara ini dalam memerangi jenayah siber. Penyebaran maklumat peribadi tanpa kebenaran adalah perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.

Pendedahan data peribadi tanpa kebenaran bukan sekadar melanggar privasi, malah boleh mengancam keselamatan fizikal mangsa, membuka ruang kepada ugutan, gangguan berterusan dan tekanan emosi yang mendalam.

Dalam banyak kes, kesan doxing berlarutan walaupun kandungan asal telah dipadam dari platform digital.

Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang yang jelas termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) serta Kanun Keseksaan bagi memastikan pelaku dikenakan tindakan sewajarnya.

Di bawah Seksyen 233 AKM, individu yang menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi untuk menyebarkan kandungan yang jelik, mengancam atau bersifat gangguan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali, serta denda tambahan bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Melalui Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 pula, penyebaran atau pemprosesan data peribadi tanpa kebenaran boleh membawa hukuman denda yang tinggi, bergantung kepada jenis pelanggaran, termasuk denda sehingga RM300,000 dan/atau penjara sehingga dua tahun bagi kesalahan tertentu yang melibatkan pendedahan data tanpa kebenaran.

Selain itu, Kanun Keseksaan turut memperuntukkan tindakan terhadap perbuatan yang mengancam keselamatan atau menimbulkan ketakutan jenayah, seperti di bawah Seksyen 503 dan 506 berkaitan ugutan jenayah, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, bergantung kepada tahap keseriusan kes.

Namun, undang-undang semata-mata tidak mencukupi tanpa kesedaran masyarakat. Setiap pengguna media sosial perlu memahami bahawa kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab.

Hak bersuara tidak pernah memberi lesen untuk menceroboh privasi orang lain atau menjadikan gangguan dalam talian sebagai norma baharu.

Ruang siber yang selamat hanya dapat diwujudkan apabila masyarakat sedar bahawa setiap klik mempunyai akibat. Media sosial tidak seharusnya menjadi senjata untuk menyerang, tetapi medium membina kefahaman dan keharmonian.

Dalam isu doxing sebagai bentuk online harassment, mesejnya jelas, fikir dahulu sebelum sebar kerana satu tindakan cuai boleh bertukar menjadi satu jenayah.

Kesedaran ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai ihsan, hormat dan keselamatan awam dalam semua aspek kehidupan termasuk ruang digital.

Masyarakat harus menolak normalisasi gangguan siber dan bersama-sama membina ekosistem dalam talian yang beradab, berperikemanusiaan serta menghormati undang-undang negara demi kesejahteraan bersama dan keharmonian sosial berpanjangan.

Tanggungjawab ini bukan hanya milik kerajaan atau penguat kuasa, tetapi kewajipan kolektif semua warga digital tanpa mengira latar belakang, pengaruh atau kedudukan dalam masyarakat hari ini.

Kesedaran berterusan mampu membendung budaya toksik dan penyalahgunaan kuasa maya.

* Dr Nuur Alifah Roslan ialah Penyarah Kanan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UPM