PAYMENTS Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) merancang untuk memperluas inisiatif pembayaran tanpa tunai ke lebih banyak institusi pengajian tinggi (IPT) melalui kerjasama dengan pihak universiti dan majlis perwakilan pelajar, sebagai sebahagian usaha berterusan memperkukuh penggunaan pembayaran digital dalam kalangan pelajar.
Langkah ini dilihat selari dengan gaya hidup pelajar masa kini yang semakin selesa menggunakan pembayaran digital untuk urusan harian di kampus.
Inisiatif itu juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh penggunaan pembayaran digital, khususnya dalam kalangan komuniti kampus yang semakin aktif beralih kepada kaedah tanpa tunai.
Perkembangan ini disokong oleh peningkatan ketara urus niaga digital menerusi PayNet Digital Campus 4.0 (PDC 4.0), yang mencatatkan sebanyak 58.7 juta transaksi pada tahun 2025 lebih dua kali ganda berbanding 24.4 juta pada 2024.
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Pendigitalan Kerajaan PayNet, Firdaus Ghani, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan bank serta rakan ekosistem bagi memperluas lagi penggunaan pembayaran tanpa tunai di kampus.
“Melalui kerjasama ini, program berkenaan bermatlamat mempermudah para peniaga di kampus supaya menerima pembayaran digital sekali gus mempertingkat pengalaman pembayaran secara keseluruhan bagi para pelajar,” katanya.
Tambah beliau, PDC 4.0 turut mencatatkan penyertaan tertinggi pada 2025 dengan penglibatan 44 universiti di seluruh negara, termasuk semua 20 universiti awam, 14 cawangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta 11 universiti swasta.
Situasi ini menunjukkan bahawa pembayaran digital kini semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan pelajar, terutama untuk urusan harian seperti membeli makanan, barangan runcit dan perkhidmatan di kampus.
Malah, pelajar sendiri dilihat sebagai pemacu utama kepada peralihan ini. Sebagai contoh di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sekumpulan pelajar membangunkan platform utmduitnow.com yang menggunakan teknologi pengecaman aksara optik (OCR) berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan pengurusan resit digital.
“Ia merupakan cara yang kreatif untuk menggalakkan penggunaan pembayaran digital yang lebih meluas di kampus. Pelajar juga mempunyai pelbagai pilihan pembayaran seperti DuitNow QR, MyDebit, FPX dan JomPAY yang menjadikan sistem ini mudah diakses,” jelasnya.
Mengulas perancangan masa depan, Firdaus berkata, PayNet akan memberi tumpuan kepada pengukuhan hasil dan pembelajaran daripada pelaksanaan PDC 4.0 sebelum memperluas inisiatif seterusnya.
“Kejayaan program ini telah memperkukuh nilainya dalam mempromosi penggunaan pembayaran digital serta membangunkan kemahiran kepimpinan pelajar. Sebarang pelaksanaan pada masa hadapan akan dibina berdasarkan asas kukuh ini,” katanya.
Selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada aspek keselamatan, kesedaran penipuan serta keupayaan pembayaran digital yang semakin berkembang bagi memastikan ekosistem kampus kekal selamat dan efisien.