KOLEJ Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) memandang serius isu tular di media sosial berhubung kelewatan makluman panggilan temuduga bagi program Teaching English as a Second Language (TESL) di salah sebuah kampus Kolej Poly-Tech MARA.
Menurut KPTMSB, pihaknya telah meneliti kes berkenaan secara menyeluruh, termasuk menjalankan siasatan dalaman. Hasil dapatan mendapati berlaku ketidakpatuhan prosedur di peringkat operasi kampus yang menjadi punca kepada kelewatan tersebut.
Susulan itu, beberapa langkah penambahbaikan sedang digerakkan, antaranya memperkukuh prosedur operasi standard (SOP), meningkatkan pemantauan serta menambah baik mekanisme komunikasi agar setiap makluman dapat disampaikan dengan lebih efektif. Usaha ini juga bertujuan memastikan calon mempunyai masa persediaan yang mencukupi.
Dalam masa sama, KPTMSB memaklumkan bahawa semua pelajar yang terkesan akan dihubungi secara langsung dan diberikan slot temuduga baharu dalam kadar segera sebagai langkah penyelesaian segera.