ISU rasuah dan kemerosotan integriti dalam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini tidak lagi boleh dianggap sebagai kes terpencil, apabila wujud petunjuk jelas berlakunya kegagalan sistemik dalam aspek tatakelola institusi berkenaan.
Presiden Persatuan Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr Syed Mohamad Hamzah Al-Junid berkata, UMPSA memandang serius perkembangan tersebut yang disifatkan turut melibatkan pengurusan tertinggi universiti sebagai penjaga utama kepada prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
"Realitinya, terdapat petunjuk bahawa proses tadbir urus tidak sentiasa dilaksanakan dengan disiplin dan ketegasan yang sewajarnya termasuk ketidakpatuhan kepada prosedur dan garis panduan dalam membuat keputusan strategik; kelemahan pematuhan terhadap polisi dan peraturan sedia ada dan tahap ketelusan yang rendah dalam proses membuat keputusan.
"Apabila perkara asas ini diabaikan di peringkat tertinggi, ia secara langsung membuka ruang kepada salah guna kuasa, ketirisan dan penyelewengan yang akhirnya menyuburkan budaya rasuah dalam organisasi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, isu tersebut turut dipengaruhi pelantikan lembaga pengarah yang tidak sepenuhnya berasaskan kompetensi, kepakaran dan integriti, sebaliknya dipengaruhi oleh pertimbangan selain merit.
Katanya, keadaan itu menjejaskan keupayaan lembaga untuk melaksanakan fungsi pengawasan secara berkesan.
"Sehubungan itu, peranan wakil agensi pusat seperti Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam lembaga pengarah perlu benar-benar berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang yang efektif, bukannya sekadar kehadiran formal," katanya.
Dalam pada itu beliau turut mempersoalkan mengenai sejauh mana Jawatankuasa Audit Dalaman serta Jawatankuasa Governans, Risiko dan Integriti benar-benar berfungsi secara bebas, profesional dan berkesan dalam mengesan, melaporkan serta memastikan tindakan susulan diambil terhadap sebarang ketidakpatuhan.
Menurutnya, sekiranya sebarang kes salah laku yang telah sampai ke pengetahuan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) tidak disusuli dengan tindakan tegas, keadaan berkenaan boleh mencetuskan persepsi perlindungan terhadap salah laku, malah membuka ruang kepada ketidakadilan institusi.
"Kelemahan ini turut diperburukkan oleh polisi yang tidak dilaksanakan secara konsisten atau tidak cukup jelas, mekanisme audit dan pemantauan yang tidak cukup bebas atau kurang proaktif serta tindakan susulan terhadap penemuan audit yang tidak tegas.
"Justeru, Persatuan Alumni UMPSA berpandangan bahawa keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Reformasi menyeluruh perlu dilaksanakan dengan segera, antaranya memastikan semua keputusan dan pelantikan di peringkat tertinggi mematuhi proses yang telus dan berasaskan peraturan selain melaksanakan pelantikan lembaga pengarah berteraskan merit, kompetensi dan integriti," katanya.
Tambahnya, perlu juga memperkukuh peranan wakil MoF dan KPT sebagai mekanisme semak dan imbang yang efektif serta memastikan Jawatankuasa Audit serta Jawatankuasa Governans, Risiko dan Integriti berfungsi secara bebas dan berautoriti.
"Integriti dalam pendidikan tinggi bukan pilihan, ia adalah keperluan asas kepada kelangsungan sistem negara dan pembaharuan tidak boleh lagi ditangguhkan," katanya.