KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menjelaskan pihak Universiti Malaya (UM) akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung persembahan teater yang didakwa berunsur soft porn dalam satu pertandingan seni di universiti terbabit.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman berkata, laporan perkara itu telah diterima pihaknya daripada UM.
"Saya kira (kejadian) lebih kepada kekhilafan dan mungkin mereka excited untuk mempamerkan seni itu sehingga mungkin terkhilaf dari segi sensitiviti.
"Apa juga yang dilakukan, pihak universiti perlu sentiasa sensitif dan bersama sebab kita lihat berkarya anak muda kadang mereka teruja dan tiada niat," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) KPT dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Isnin.
Perjanjian itu berlangsung pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.
Tambah Azlinda, nasihat perlu diberikan bagi mengurangkan sensitiviti isu sedemikian kerana budaya ketimuran negara masih dikekalkan.
Khamis lalu, UM dalam kenyataan memaklumkan teater yang dipersembahkan itu jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan ditetapkan.
UM memaklumkan, hasil penelitian mendapati adegan dipertontonkan adalah tidak selaras dengan skrip asal yang sudah melalui proses tapisan.
Sebelum itu, satu persembahan teater yang didakwa berlaku di sebuah dewan di UM menjadi tular apabila memaparkan adegan ghairah 'di atas katil' dan netizen mendakwa, ia berunsur soft porn dan tidak sepatutnya berlaku di sebuah institusi pengajian yang terbilang itu.
Berikutan itu, UM menegaskan pihaknya mengambil maklum mengenai segala kebimbangan yang dibangkitkan dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan ditetapkan.