UNIVERSITI Malaysia Sabah (UMS) menafikan penglibatan dalam beberapa laman sesawang yang mempromosikan persidangan dikenali sebagai International Global Multidisciplinary Engineering Conference (IGMEC) dan International Conference on Biomedical Engineering & Instrumentation (ICBEI), yang didakwa secara palsu melibatkan universiti tersebut sebagai penganjur dan lokasi program.
Menurut kenyataan UMS, laman sesawang berkenaan turut memaparkan nama pensyarah universiti, termasuk Dr. Rodeano Roslee (Prof. Ts. Dr. Rodeano Roslee) sebagai pengucaptama tanpa pengetahuan atau kebenaran pihak universiti mahupun individu terbabit.
Sehubungan itu, UMS menegaskan universiti tidak pernah memberi sebarang kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama universiti, fakulti mahupun staf akademik bagi tujuan mempromosikan program berkenaan.
"UMS turut memandang serius perkara tersebut kerana ia berpotensi mengelirukan orang awam serta mencemarkan reputasi institusi," menurut kenyataan tersebut.
Justeru, UMS berkata laporan polis dan aduan akan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam masa sama, UMS menasihatkan orang awam khususnya warga akademik agar melaksanakan semakan sewajarnya (due diligence) sebelum menyertai mana-mana program, seminar atau persidangan yang mendakwa mempunyai kaitan dengan universiti tersebut.
Pihak universiti turut menggesa orang ramai melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau penggunaan nama UMS tanpa kebenaran bagi tujuan pengesahan dan tindakan lanjut.