KOLEJ Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mencipta kelainan dalam pendekatan pendidikan apabila menganjurkan International STEMagika Festival 2026 di Dewan Kolej Ungku Omar.
Program sehari itu menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan dalam satu platform berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Antara yang terlibat ialah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Teknikal Malaysia Melaka serta Kolej Vokasional Slim River.
Mengangkat tema “Is it Magic? or Just Science?”, festival ini menampilkan pendekatan pembelajaran kreatif dan interaktif dengan elemen ‘magik’ bagi menjadikan STEM lebih mudah difahami serta menyeronokkan.
Program ini dianjurkan oleh Kolej Ungku Omar melalui Exco Multimedia, Teknologi dan Inovasi Digital dengan kerjasama strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menerusi Jabatan Kimia Malaysia serta Majlis Daerah Tanjong Malim.
Festival ini turut disokong rakan kolaboratif daripada pelbagai universiti dan persatuan termasuk Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI, Pusat STEM UPSI, Pusat Pembangunan Akademik UPSI, MySTEM Ambassador Universiti Putra Malaysia, MySTEM Ambassador Universiti Malaysia Perlis, Applied Science Universiti Teknologi MARA Tapah, Association of Inventive, Innovative and Creative Thinkers (ASIIC) Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Kelab Rakan Astronomi UPSI, Persatuan Teknologi Kejuruteraan UPSI, Persatuan Mahasiswa Sains UPSI, Persatuan Sains Pertanian UPSI, Persatuan Teknologi Maklumat UPSI, Persatuan Matematik UPSI, Kolej Vokasional Slim River serta MBOT UNITEN Student Chapter Universiti Tenaga Nasional.
Menariknya, festival ini turut mendapat sokongan antarabangsa daripada Universitas Garut Indonesia, University of Lorraine France dan Enterprise College di London.
Sepanjang penganjuran, pelbagai pengisian menarik dilaksanakan, antaranya STEMagika Showdown yang menghimpunkan tujuh pasukan daripada enam sekolah menengah sekitar Perak dan Selangor.
SMKA Slim River muncul juara dengan meraih anugerah Persembahan Terbaik dan Pembentang Terbaik, diikuti SMK Felda Besout di tempat kedua dan SMK Methodist Tanjong Malim di tempat ketiga.
Selain itu, ASIIC Soccer-Bot League (Universiti Teknikal Malaysia Melaka) mempamerkan kemahiran pengaturcaraan dan kejuruteraan peserta menerusi perlawanan robotik interaktif.
STEM Convergence Expo pula menampilkan lebih 15 reruai interaktif yang mempamerkan projek inovasi dan teknologi daripada institusi terlibat, sekali gus memberi pengalaman hands-on kepada pengunjung.
Kemeriahan festival turut diserikan dengan penampilan pempengaruh Amin dan Abid serta persembahan ahli silap mata Haiqal Helmy yang berjaya menggabungkan elemen hiburan dan sains secara kreatif.
Pengarah Program, Muhammad Hafiz Saffar berkata, beliau melahirkan rasa syukur atas kejayaan pelaksanaan program tersebut.
"Minat terhadap dunia magik sejak kecil menjadi inspirasi untuk menggabungkan elemen tersebut dalam platform STEM, khususnya selepas diberi peluang memimpin sebagai pemimpin pelajar di KUO," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Felo Kolej-Kolej Kediaman UPSI, Chm. Dr. Mohd Saufi Rosmi menyifatkan festival ini sebagai titik permulaan baharu kepada mahasiswa dalam menganjurkan program STEM yang lebih kreatif, menarik dan berimpak tinggi.
"Penganjuran International STEMagika Festival 2026 dilihat berjaya memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan.
"Ia selari dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, kreatif, inovatif serta berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.
Menurutnya, program seumpama ini diharap dapat diteruskan sebagai platform pembangunan bakat dan inovasi pelajar, sekali gus memperkasa pendidikan STEM negara.