Rezeki dikongsi, pelajar Non-Resident UiTM tak dilupa

- Advertisement / Iklan -
Pelajar non-resident Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menerima manfaat menerusi Program Inisiatif NR Prihatin 2026: Sentuhan Kasih Agihan Kotak Rezeki yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Non-Resident (JPNR) dengan kerjasama pihak pengurusan universiti serta rakan strategik.

SERAMAI kira-kira 2,500 pelajar non-resident Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menerima manfaat menerusi Program Inisiatif NR Prihatin 2026: Sentuhan Kasih Agihan Kotak Rezeki yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Non-Resident (JPNR) dengan kerjasama pihak pengurusan universiti serta rakan strategik.

Program ini bukan sekadar menghulurkan bantuan keperluan asas, malah menjadi platform memperkukuh hubungan antara pelajar, pihak universiti dan rakan industri, selain menyemai semangat kebersamaan dalam komuniti kampus.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata, penganjuran program tersebut mencerminkan nilai keprihatinan dan solidariti dalam kalangan warga universiti.

Beliau berkata, kerjasama bersama Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan beberapa rakan strategik itu membuktikan bahawa tanggungjawab sosial merupakan usaha kolektif yang memberi impak langsung kepada pelajar.

- Advertisement / Iklan -

“Setiap kotak rezeki yang diagihkan bukan sekadar bantuan fizikal, tetapi turut membawa mesej kasih sayang, keprihatinan dan kebersamaan,” katanya.

Menurutnya, program di bawah Unit Pengurusan Non-Resident (UPNR) itu amat relevan dalam membantu pelajar yang berdepan cabaran kos sara hidup, khususnya golongan non-resident.

- Advertisement / Iklan -

Beliau turut menambah bahawa inisiatif seperti ini juga menjadi platform pembelajaran luar bilik kuliah yang mampu membentuk jati diri serta memupuk nilai empati dan kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2025/2026, Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali berkata, sebanyak 450 kotak makanan telah diagihkan kepada pelajar non-resident sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan mereka.

“Inisiatif ini menunjukkan UiTM melalui UPNR sentiasa mengambil maklum dan memberi perhatian serius terhadap keperluan pelajar non-resident. Kami juga menggalakkan pelajar untuk mendaftar dan tidak segan mendapatkan bantuan atau nasihat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa lebih banyak inisiatif susulan akan dilaksanakan bagi memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.

Bagi pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Izzat Furqan, 24, program ini dilihat sangat membantu dalam mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Harga barang dan makanan sekarang memang tinggi, terutama bagi pelajar yang tinggal di Shah Alam, Selangor dan Kuala Lumpur. Bantuan seperti ini sangat bermakna kerana kami bukan sahaja menerima makanan, malah sebelum ini juga ada bantuan kewangan dan sokongan ketika bencana,” katanya.

Beliau turut berharap lebih banyak syarikat atau jenama besar tampil bekerjasama dalam program kebajikan mahasiswa pada masa akan datang.

Pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Muhammad Hakimin, 22, pula menyifatkan program itu sebagai bukti bahawa pelajar non-resident tidak dipinggirkan walaupun tinggal di luar kampus.

“Walaupun kami duduk luar, pihak universiti dan unit non-resident masih ambil berat dan terus hubungi kami. Program seperti ini buat kami rasa dihargai,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Muhammad Amir Irshad, 24, mengakui terkejut dengan penganjuran program berskala besar itu khusus untuk pelajar non-resident.

“Saya agak terkejut dan pada masa sama sangat bersyukur. Ini kali pertama saya lihat program sebesar ini khusus untuk non-resident. Ia benar-benar membantu dan menunjukkan kami tidak dilupakan,” katanya.

Program yang berlangsung di Dewan Mawar Qaseh itu turut diserikan dengan pelbagai pengisian termasuk agihan makanan secara berperingkat, aktiviti beramah mesra, kuiz interaktif serta cabutan bertuah dengan penyertaan aktif pelajar.