NAMA Politeknik Premier Port Dickson sekali lagi mencuri tumpuan di pentas nasional apabila salah seorang pelajarnya berjaya meraih pengiktirafan berprestij dalam bidang inovasi.
Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer), S Karthik dinobatkan sebagai penerima Anugerah TVET Star Kategori Inovasi (Politeknik) dalam satu majlis yang berlangsung penuh gemilang di sebuah Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan, kejayaan itu turut diraikan bersama Pengarah Politeknik Premier Port Dickson, Wan Zulkifly Wan Zakaria yang sentiasa komited dalam memperkukuh kecemerlangan institusi serta menyokong pembangunan bakat pelajar.
Pengiktirafan tersebut menobatkan Karthik sebagai antara inovator muda terbaik dalam ekosistem TVET negara, sekali gus membuktikan keupayaan institusi itu dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing.
Beliau telah membangunkan projek inovasi Aquarise, iaitu sistem pintar yang menggabungkan teknologi Internet of Things (IoT) dan Artificial Intelligence (AI) bagi menangani isu banjir.
Inovasi berkenaan dilihat mampu memberi nilai tambah signifikan kepada komuniti, khususnya dalam meningkatkan kesiapsiagaan serta mengurangkan risiko kerugian harta benda.
Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian individu, malah mencerminkan kekuatan Politeknik Premier Port Dickson sebagai institusi yang melahirkan generasi inovator masa hadapan serta pemacu perubahan dalam negara.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada S Karthik serta penyelia beliau atas pencapaian yang membanggakan ini.