UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengukuhkan reputasinya apabila bidang pengajian Automotif muncul sebagai pilihan utama majikan industri, sekali gus menduduki tempat pertama dalam kalangan universiti awam Malaysia.
Pencapaian itu diperoleh menerusi penilaian validasi oleh Talentbank yang melibatkan 1,200 majikan industri di seluruh negara.
Lebih membanggakan, selain Automotif, tiga lagi bidang pengajian UTeM iaitu Keusahawanan, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Mekatronik turut menerima penarafan unggul 6-Star Employer Choice.
Dalam penilaian sama, UTeM turut diiktiraf sebagai Universiti Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Terkemuka di Malaysia untuk kebolehkerjaan siswazah.
Tidak terhenti di situ, UTeM juga menjadi pilihan utama majikan bagi pengambilan graduan secara berskala besar dalam bidang Komputeran dan Teknologi Maklumat, sekali gus mencerminkan kepercayaan tinggi industri terhadap kemahiran teknikal serta kompetensi graduannya.
Kesemua pencapaian ini, yang direkodkan dalam Graduate Employability Index 2026 oleh Talentbank, meletakkan UTeM dalam kelompok lima universiti awam terbaik di Malaysia.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kejayaan tersebut adalah hasil strategi berkesan serta komitmen berterusan universiti dalam memastikan kurikulum sentiasa relevan dengan keperluan industri.
“Ia bagi memastikan kurikulum yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan industri serta berfokus kepada pembangunan kemahiran praktikal dan insaniah pelajar,” ujarnya.
Katanya, pengiktirafan itu juga mencerminkan kepercayaan tinggi pihak industri terhadap kualiti graduan UTeM serta keberkesanan pendekatan pendidikan berasaskan industri yang dilaksanakan secara bersepadu.
“Sehubungan dengan itu, UTeM akan terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan rakan industri bagi memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja memenuhi kehendak pasaran kerja semasa, malah mampu menjadi pemacu inovasi dan pembangunan negara pada masa hadapan,” katanya lagi.
Dengan kemenangan tersebut UTeM telah menerima sebuah piala dan sijil kecemerlangan yang disampaikan dalam Majlis Employer Choice Award anjuran Talentbank di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof. Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif menerima hadiah kemenangan ini.
Sabri dalam kenyataan menyentuh aspek kemenjadian mahasiswa turut menjadi elemen sokongan padu dalam ekosistem pendidikan universiti yang mana UTeM sentiasa menekankan pembangunan mahasiswa secara holistik dalam acuan keseimbangan antara kecemerlangan akademik, kemahiran insaniah serta nilai kepimpinan.
“Kemenjadian mahasiswa adalah tonggak utama UTeM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga mempunyai jati diri, daya tahan serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan industri dan cabaran global.
“Seiring dengan itu, UTeM komited untuk terus memperkasa ekosistem pendidikan tinggi yang berorientasikan industri, sekali gus melahirkan graduan holistik, kompeten dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.