PASUKAN Akademi Seni Kulinari Kolej Komuniti Chenderoh (PCAA@KKCP) Perak berjaya merangkul 14 anugerah dalam kejohanan Cabaran Kulinari Antarabangsa Vietnam 2026, yang berlangsung di Saigon Exhibition@Convention Centre, Ho Chi Minh, Jumaat lepas.
Pengarah PCAA@KKCP, Meor M. Sharifuddin Meor Shukri berkata, pencapaian itu meletakkan Malaysia sebagai pesaing utama di pentas global, menandingi peserta hebat dari negara seperti Jepun, Singapura, Thailand, Taiwan dan Australia menerusi pelbagai kategori teknikal sepanjang tiga hari persaingan.
"Usaha gigih Khairul Ashikhin Mohd Kamil, 46, dan Muhammad Syafiq Jamaluddin, 35, serta para pelajar kita telah membuktikan bahawa bakat TVET Malaysia bukan sahaja mampu bersaing, malah mendominasi peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan dikeluarkan KKCP.
Pasukan terdiri daripada gabungan pensyarah dan pelajar itu turut melibatkan Muhammad Amar Mohd Salim, Umar Ridha Nirul Azwan dan Muhammad Amzar Asrol yang berusia antara 20 tahun hingga 25 tahun.
Meor M. Sharifuddin berkata, kejayaan merangkul empat pingat emas, empat pingat perak, lima pingat gangsa serta satu diploma itu membabitkan kategori yang dipertandingkan antaranya Asian Inspired Noodles and Chinese Cuisine Dish, dan Individual Display Fruit and Vegetables.
"Ia bukan sahaja mengharumkan nama institusi, malah memperkukuh kedudukan negara sebagai hab kecemerlangan kulinari di rantau Asia Tenggara dan dunia,” katanya.
Sementara itu, menurut Facebook PCAA@KKCP, kejayaan itu bukan sahaja mencerminkan komitmen dan dedikasi tinggi pasukan, malah menjadi bukti bahawa pasukan berkenaan terus unggul dalam melahirkan bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf antarabangsa, serta mampu bersaing pada peringkat global.
VNCC edisi kali ke-11 itu mencatatkan lebih 203 peserta dan 401 penyertaan dari 19 wilayah dan bandar di seluruh Vietnam, selain peserta antarabangsa dari Thailand, Singapura, Malaysia, Taiwan, Jepun dan Australia. - Bernama