Young Art Entrepreneur komersialkan bakat seni

- Advertisement / Iklan -
Final Pitch Day YAE!, seramai 20 orang peserta yang menyertai program Young Art Entrepreneur (YAE!) Kohort Ke-11 di Balai Seni Negara Anjuran Balai Seni Negara dengan kerjasama Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC), program ini menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk seni visual, tekstil, kraf dan media digital.
Program YAE! Kohort 11 melibatkan 20 peserta sejak September 2025 melalui latihan intensif meliputi pembangunan produk, strategi perniagaan dan akses pasaran, sebelum kemuncak Final Pitch Day.

BERBEKALKAN minat terhadap seni seramik, seorang peserta program Young Art Entrepreneur (YAE!) kohort ke-11 kini melangkah lebih jauh dengan membangunkan ekosistem seni yang bukan sahaja menjana pendapatan, malah memberi impak kepada komuniti setempat.

Bagi Muhammad Aimanuddin Kasman, 31, seni bukan lagi sekadar karya untuk dipamerkan, sebaliknya medium yang mampu membuka peluang ekonomi, pendidikan serta aktiviti komuniti yang lebih luas.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dari Universiti Malaysia Sarawak itu memberi tumpuan kepada penghasilan Terenang, iaitu pasu tradisional Pahang yang suatu ketika dahulu digunakan dalam upacara perubatan dan majlis keramaian, namun kini hampir dilupakan.

"Bila saya berada di Karak, Pahang, saya lihat Terenang ini sebagai satu identiti yang boleh diketengahkan semula, bukan sahaja sebagai warisan, tetapi juga sebagai produk pelancongan budaya," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Final Pitch Day YAE! di Balai Seni Negara pada Selasa.

- Advertisement / Iklan -

Menerapkan elemen moden bagi memenuhi keperluan pasaran semasa, Muhammad Aimanuddin berkata potensi seni itu turut dikembangkan menerusi Sari Cempaka Art Village di Bentong yang menawarkan bengkel seni, acara komuniti serta kemudahan penginapan dan makanan.

"Di sini kita bukan sahaja buat seramik, tetapi kita bina ekosistem. Orang datang bukan sekadar beli produk, tapi boleh belajar, berkarya dan alami pengalaman seni," katanya sambil menyifatkan pendekatan itu mampu merancakkan ekonomi kreatif luar bandar.

- Advertisement / Iklan -

"Kalau kita buat seni semata-mata, memang susah nak jual. Jadi kita kena ubah cara fikir, bukan hanya buat karya, tetapi hasilkan produk serta cari cara bagaimana nak pasarkan dan kekalkan minat pelanggan untuk terus bertahan dalam industri," katanya.

Penyertaan dalam program YAE! yang diperkenalkan sejak 2017 itu berjaya membantu peserta mengembangkan potensi seni ke arah keusahawanan, termasuk dalam aspek penjenamaan, strategi pemasaran serta pemahaman terhadap kehendak pasaran.

Seorang lagi peserta program berkenaan, Farah Nisryn Mohd Safuan, 21, yang mengusahakan jenama Crafters in Bloom berkata minat terhadap seni kraf mengait untuk menghasilkan produk seperti rantai kunci, beg tangan dan patung hiasan kini berkembang menjadi sumber pendapatan melalui jualan tempahan khas dan di acara jualan sementara (pop-up).

"Saya mula nampak potensi bila produk saya habis terjual dalam satu sesi acara jualan sementara. Dari situ saya sedar benda ini boleh jadi sumber pendapatan. Program YAE pula membantu saya memperkemas penjenamaan, strategi harga serta pemahaman pasaran, selain membuka peluang kolaborasi," katanya.

Program YAE! kohort ke-11 merupakan inisiatif Balai Seni Negara dengan kerjasama Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC) yang melibatkan 20 peserta sejak September 2025 melalui latihan intensif merangkumi pembangunan produk, strategi perniagaan dan akses pasaran, sebelum kemuncaknya pada Final Pitch Day. - Bernama