DUA pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuktikan bakat anak Malaysia mampu bersinar di pentas dunia apabila berjaya meraih tempat pertama dalam PGVIM International Guitar Ensemble Competition 2026 yang berlangsung di Princess Galyani Vadhana Institute of Music, Bangkok, Thailand.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kemenangan itu diraih oleh Alif Danieal Norazmi, pelajar Sarjana Muda Pendidikan (Muzik), bersama Joynner Junior Hermon, pelajar Sarjana Muzik (Persembahan), yang memenangi First Prize bagi kategori Guitar Chamber (Open Category).
"Pencapaian tersebut membuktikan keunggulan bakat serta tahap profesionalisme pelajar UPSI dalam bidang muzik persembahan di peringkat antarabangsa, sekali gus mengangkat reputasi universiti sebagai institusi pendidikan guru yang melahirkan graduan berdaya saing global," katanya.
Pertandingan berkenaan menghimpunkan peserta dari pelbagai negara dan menawarkan hadiah keseluruhan melebihi 120,000 Baht, menjadikannya antara platform penting bagi pemuzik muda untuk menonjolkan bakat serta kreativiti mereka di pentas antarabangsa.
Md Amin berkata, penyertaan kedua-dua pelajar ini juga merupakan sebahagian daripada program mobiliti akademik yang diselaraskan oleh Herry Rizal Djahwasi, sekali gus memperkukuhkan jaringan antarabangsa dan memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar di luar negara.
"Kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam memperkasakan pendidikan berteraskan kecemerlangan dan inovasi, selain menjadi bukti bahawa pelajar tempatan mampu bersaing setanding pemuzik antarabangsa," tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan holistik yang dilaksanakan oleh Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi yang bukan sahaja mahir dari segi teknikal, malah mempunyai daya saing di peringkat global.
Katanya, UPSI akan terus memperluas peluang pendedahan antarabangsa kepada pelajar melalui pelbagai program mobiliti, pertandingan dan kolaborasi strategik bagi memastikan bakat muda negara terus menyerlah di pentas dunia.