Tenaga Hijau UTHM berpotensi bantu Kampung Peta

- Advertisement / Iklan -
Dari sungai ke panel solar, teknologi hijau UTHM bakal bantu komuniti Orang Asli nikmati elektrik mesra alam

USAHA membawa teknologi hijau ke kawasan pedalaman terus diperkasakan apabila Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merancang untuk memperluas penggunaan Sistem Hibrid Solar-Mikro Hidro kepada komuniti Orang Asli di Kampung Peta sebagai alternatif bekalan elektrik yang lebih stabil dan lestari.

Menurut Naib Canselor UTHM, Prof Dr Mas Fawzi Mohd Ali, sistem tersebut sebenarnya bukan baharu. Ia telah dibangunkan sejak 2013 hasil kerjasama dengan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) dan kini menjadi sumber utama tenaga elektrik di Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Alam (NERC), Taman Negara Johor Endau-Rompin.

"Buat masa ini, fokus diberikan untuk memastikan sistem di NERC serta kemudahan di bawah PTNJ berada dalam keadaan stabil sebelum diperluaskan kepada komuniti setempat.

"Inisiatif ini turut menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan program edutourism UTHM menerusi konsep Living Lab @ NERC," katanya. 

- Advertisement / Iklan -

Menariknya, sistem hibrid ini bukan sahaja berfungsi sebagai sumber tenaga, malah menjadi tarikan pembelajaran berimpak tinggi kepada pengunjung.

Beliau berkata usaha menaik taraf sistem penjanaan elektrik giat dijalankan susulan kerosakan akibat banjir besar 2023, dengan kapasiti semasa kira-kira 15 kilowatt (kW).

- Advertisement / Iklan -

Selain lebih mesra alam, sistem ini juga dilihat mampu menjimatkan kos operasi berbanding penggunaan generator diesel yang biasa digunakan di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Kumpulan Fokus Ecohydro UTHM, Izat Yahya berkata, sistem ini memanfaatkan sumber air dari Sungai Semawak yang terletak kira-kira 800 meter dari lokasi turbin di NERC.

"Selepas kerja baik pulih dilakukan, bekalan elektrik kini dapat disalurkan ke pelbagai kemudahan seperti surau, chalet, makmal, dewan dan asrama," katanya.

Namun begitu, katanya, cabaran tetap ada terutama ketika musim kemarau apabila paras air menurun. Justeru, usaha sedang dijalankan untuk menambah baik empangan mini serta sistem simpanan tenaga bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil.