PERSEKITARAN yang selesa dan kondusif menjadi antara elemen penting dalam menyokong kesejahteraan mahasiswa, khususnya mereka yang berdepan cabaran kesihatan mental.

Menyedari keperluan itu, seramai 30 sukarelawan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang berganding bahu menceriakan bilik rehabilitasi di Kolej Delima dan Kolej Kristal menerusi program Splash & Paint Day, baru-baru ini.

Inisiatif anjuran Kelab Briged Sukarelawan Kolej dengan kerjasama Unit Residensi dan Hospitaliti Pelajar itu melibatkan kerja pembersihan, penyediaan permukaan dinding, mengecat serta menyusun semula ruang bagi mewujudkan suasana lebih selesa dan mesra pengguna.

Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Profesor Datuk Ir Dr Haji Ahmad Rashidy Razali berkata, kesejahteraan mental mahasiswa memerlukan perhatian menyeluruh serta penglibatan aktif seluruh komuniti universiti.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

“Kesejahteraan mental mahasiswa merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diberikan perhatian serius. Inisiatif ini membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja mampu mencapai kecemerlangan akademik, malah berperanan sebagai agen perubahan dalam membina persekitaran kampus yang lebih prihatin, inklusif dan sejahtera.

- Advertisement / Iklan -

“Setiap usaha kecil yang dilaksanakan dengan penuh empati mampu memberikan impak besar kepada kehidupan rakan mahasiswa yang memerlukan sokongan,” katanya.

Keperluan terhadap sokongan kesejahteraan mental dalam kalangan mahasiswa turut digambarkan menerusi dapatan saringan kesihatan mental Unit Psikologi dan Kaunseling (UPK) UiTM bagi sesi Oktober 2024.

Daripada 33,812 mahasiswa yang menjalani Ujian Saringan Kesihatan Mental atau Depression Anxiety Stress Scale (DASS), seramai 4,790 dikategorikan berisiko tinggi, manakala 228 mahasiswa dilaporkan pernah menerima rawatan psikiatri sebelum mendaftar ke universiti.

Walaupun penyediaan bilik rehabilitasi bukan pengganti kepada rawatan profesional, persekitaran yang selesa boleh melengkapi perkhidmatan psikologi, kaunseling dan kesihatan yang disediakan pihak universiti.

No Image Caption

Selain menceriakan kemudahan kolej, penglibatan mahasiswa dalam kerja pembersihan dan mengecat turut memberi ruang kepada mereka membina kemahiran kepimpinan, kerjasama berpasukan serta tanggungjawab sosial.

Inisiatif berkenaan turut mendapat sokongan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Dr Ahmad Asri Abd. Samat, selaras dengan komitmen pengurusan universiti memperkukuh kebajikan mahasiswa dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyokong kesejahteraan emosi serta psikologi.

Pelaksanaan Splash & Paint Day juga mendukung aspirasi Transformasi Mahasiswa UiTM (TAMU) yang menekankan pembangunan mahasiswa secara holistik, merangkumi aspek kesejahteraan, kesihatan dan pembentukan sahsiah.

Usaha menceriakan bilik rehabilitasi itu membawa makna lebih besar daripada perubahan fizikal ruang apabila memperlihatkan peranan mahasiswa dalam membina komuniti kampus yang lebih prihatin. Sokongan terhadap rakan yang berdepan cabaran kesihatan mental perlu diteruskan melalui persekitaran yang selamat, inklusif dan bebas stigma.