Sambutan luar biasa, Karnival Kesihatan UCS lepasi sasaran
KARNIVAL Rekreasi Kesihatan@UCS 2026 anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor (UCS) mencatatkan sambutan memberangsangkan apabila menarik seramai 2,322 pengunjung sepanjang empat hari penganjurannya baru-baru ini, sekali gus melepasi dua kali ganda sasaran awal seramai 1,000 orang.
Menurut kenyataan UCS, program anjuran Unit Kesihatan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) itu berlangsung di Kampus Puncak Alam bagi membudayakan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran mengenai kesejahteraan fizikal dan mental dalam kalangan warga kampus serta komuniti setempat.
Antara pengisian utama yang mendapat perhatian ialah senamrobik Rumba Zumba (Ladies Fit Night) dan larian malam Green Ribbon Community Night Run 5KM yang turut menjadi platform meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental serta sokongan komuniti terhadap kesejahteraan psikologi.

Selain aktiviti kecergasan, aspek pendidikan dan pencegahan kesihatan turut diberi penekanan apabila seramai 931 pengunjung memanfaatkan reruai pameran kesihatan, saringan kesihatan fizikal dan mental serta pemeriksaan pergigian percuma menerusi perkhidmatan bas pergigian bergerak Fakulti Pergigian UiTM.

Komitmen tanggungjawab sosial pula diterjemahkan menerusi Kempen Derma Darah dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) yang berjaya mengumpulkan 127 penderma bagi membantu memenuhi keperluan bekalan darah negara.
Karnival bertemakan Wellness Starts With Us itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti rekreasi dan cabaran kecergasan seperti Fun Obstacle Treasure Hunt, Trail & Paddle Escape di Kolam 9 UiTM Kampus Puncak Alam, cabaran kecergasan Mini Highrox UCS serta pertandingan masakan sihat, Healthy Cooking.

Kelancaran penganjuran disokong penglibatan sukarelawan terdiri daripada pelajar dan staf UCS serta 48 pempamer, selain kerjasama strategik Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
Inisiatif intervensi dan promosi kesihatan itu dirangka dengan memberi penekanan terhadap pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) serta penjagaan kesihatan mental, selaras dengan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023.
Majlis penutupan rasmi karnival disempurnakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kesihatan Awam JKNS, Datin Dr Siti Rohana Saad yang hadir mewakili Pengarah Kesihatan Negeri Selangor.
Turut hadir, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UCS, Profesor Madya Dr Mohammed Hardy Loh Rahim dan Ketua Unit Kesihatan UCS merangkap Pengerusi Karnival, Dr Saliana Sadi.
