Tujuh Dapur Siswa MADANI ringankan beban mahasiswa UiTM Perlis
UNIVERISITI Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menyediakan tujuh unit Dapur Siswa MADANI bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian mahasiswa, khususnya berkaitan keperluan makanan, susulan peningkatan kos sara hidup.
Inisiatif itu membolehkan mahasiswa menyediakan makanan sendiri di kolej kediaman, sekali gus menawarkan alternatif lebih menjimatkan berbanding bergantung sepenuhnya kepada pembelian makanan siap.
Tujuh unit kemudahan berkenaan dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya, dalam satu majlis di Kolej Kediaman Dahlia 3, UiTM Cawangan Perlis.
Pelaksanaan Dapur Siswa MADANI yang merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu turut memberi perhatian kepada isu keterjaminan makanan mahasiswa, khususnya mereka yang perlu mengurus perbelanjaan secara berhemat sepanjang tempoh pengajian.
Fathul Bari berkata, usaha membantu mahasiswa tidak seharusnya terbatas kepada pemberian bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi penyediaan kemudahan yang mampu mengurangkan kos kehidupan mereka secara berterusan.
“Dapur Siswa MADANI bukan sekadar tempat memasak, tetapi satu bentuk sokongan praktikal yang membolehkan mahasiswa mengurus perbelanjaan makanan dengan lebih baik, sekali gus memastikan cabaran kos sara hidup tidak menjejaskan tumpuan mereka terhadap pengajian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi berkata, penyediaan kemudahan berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh universiti dalam memperkukuh kesejahteraan mahasiswa menerusi agenda Transformasi Mahasiswa UiTM (TAMU).
“Bagi UiTM, kebajikan mahasiswa bukan hanya soal menyediakan bantuan ketika mereka berdepan kesusahan, tetapi membangunkan ekosistem sokongan yang membolehkan mereka menjalani kehidupan kampus dengan lebih sejahtera, berdikari dan memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik,” katanya.
Selain menjimatkan perbelanjaan, kemudahan itu turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk membudayakan amalan memasak sendiri, merancang pemakanan serta mengurus kewangan dengan lebih bertanggungjawab.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, bersama barisan Jawatankuasa Eksekutif universiti.
Hadir sama, Pengarah Pusat Residensi dan Hospitaliti Pelajar, Puan Hajah Ikhwana Haji Misnan; Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar merangkap mantan Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Kediaman UiTM, Dr. Firdaus Mohamad; serta Penolong Pendaftar Unit Residensi dan Hospitaliti Pelajar, Ahmad Muaz Mahzair.
Penyediaan tujuh unit Dapur Siswa MADANI itu mencerminkan kerjasama berterusan antara KPT dengan UiTM dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial mahasiswa menerusi pelaksanaan inisiatif kebajikan yang praktikal dan mampan.
Kemudahan berkenaan diharap dapat mengurangkan tekanan perbelanjaan makanan dalam kalangan mahasiswa, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, tanpa mengabaikan aspek kesejahteraan dan keperluan pemakanan harian.
Usaha itu turut memperlihatkan kepentingan penyediaan persekitaran pembelajaran yang mengambil kira keperluan asas dan kesejahteraan mahasiswa dalam melahirkan graduan berkualiti, selain memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik.
