SEBANYAK 9,134 graduan Universiti Sains Malaysia (USM) bakal menerima ijazah masing-masing pada Upacara Konvokesyen ke-64 universiti itu yang berlangsung selama lapan hari bermula Selasa hingga 1 Disember ini.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, istiadat yang merangkumi 14 sidang itu akan berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), kampus induk USM.

"Jumlah itu merangkumi 1,054 graduan Doktor Falsafah (PhD), 3,157 graduan sarjana, 4,891 graduan sarjana muda dan 30 graduan Diploma Kejururawatan dan Upacara Konvokesyen ke-64 ini turut menyaksikan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada Dr Zainal Arifin Mohd Ishak dan Profesor Emerita kepada Dr Tan Sooi Beng.

"Raja Perlis merangkap Canselor USM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mempengerusikan sidang pertama pada Selasa, bermula 10.30 pagi," katanya pada sidang media khas sempena konvokesyen itu, pada Isnin.

- Advertisement / Iklan -

Katanya sidang pertama itu turut menyaksikan penganugerahan ijazah kepada kohort sulung enam program sarjana baharu melibatkan bidang pembungkusan semikonduktor termaju, pengurusan kejuruteraan pembuatan termaju, pergigian, teknologi bioproses, keselamatan siber serta reka bentuk dan teknologi pembelajaran.

Abdul Rahman berkata, 16 graduan merupakan penerima sulung bagi enam program itu dengan Sarjana Sains Pergigian mencatatkan jumlah tertinggi iaitu tujuh orang.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan Anugerah Pingat Emas Canselor kepada pelajar terbaik USM dalam semua bidang pada sidang pertama.

"Sidang kedua hingga kelima akan dipengerusikan Pro-Canselor USM Tan Sri Dr Zulkefli A Hassan manakala sidang keenam hingga kelapan dipengerusikan Tan Sri Dr !hmad Tajuddin Ali dan sidang kesembilan hingga ke-14 oleh Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin," katanya.

Sementara itu katanya, Tuanku Syed Sirajuddin juga berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Sanggar Sanjung 2025 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) malam ini bagi mengiktiraf kecemerlangan warga USM khususnya dalam bidang penyelidikan. - Bernama