UKM pelopor Sekretariat Nasional Tekad 2057
UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menubuhkan Sekretariat Nasional TEKAD dan Wawasan 2057 bagi membina satu wawasan 100 Tahun Malaysia Merdeka.
Cadangan penubuhan sekretariat itu dikemukakan UKM pada Sidang Idea Malaysia 8 (SIM 8) yang bertemakan "Menuju Malaysia 100 Tahun" sempena Festival Idea Putrajaya 2026, baru-baru ini.
Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Sufian Jusoh berkata cadangan itu ialah peluasan kerangka strategik universiti tersebut, TEKAD 57 ke peringkat nasional dengan memanfaatkan kepakaran dan kapasiti penyelidikan institusi pengajian tinggi awam.
"UKM memiliki kapasiti institusi yang kukuh, prasarana penyelidikan termaju serta himpunan pakar rujuk dalam pelbagai bidang yang bersedia digembleng sepenuhnya demi menjayakan aspirasi jangka panjang negara.
"Berbekalkan kepakaran sedia ada merangkumi bidang sains, teknologi, kejuruteraan, perubatan, sains sosial, ekonomi dan dasar awam, kami amat bersedia menggalas amanah besar sebagai Sekretariat Nasional menuju 2057," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Sufian berkata, peranan UKM sebagai peneraju dan penyelaras sekretariat itu akan digerakkan menerusi lima teras strategik utama merangkumi pembangunan polisi, penyelarasan strategik, pemantauan petunjuk prestasi utama, pelaporan nasional dan kajian masa hadapan.
Dari aspek pembangunan polisi, beliau berkata, UKM akan merangka pelan tindakan nasional secara berfasa selain mengadakan sesi libat urus dengan warga universiti pada Januari tahun hadapan.
Penyelarasan strategik pula akan menumpukan pada perkongsian kepakaran dan kemudahan penyelidikan secara bersepadu merentas rangkaian universiti awam.
Sufian berkata di bawah aspek pemantauan petunjuk prestasi utama, sekretariat bertanggungjawab menilai impak pelaksanaan wawasan itu terhadap pertumbuhan ekonomi, daya saing industri dan kesejahteraan masyarakat.
Di bawah aspek pelaporan nasional, sekretariat akan menyediakan laporan kemajuan berkala setiap lima tahun secara terus kepada kerajaan.
Selain itu, bagi aspek kajian masa hadapan, beliau berkata sekretariat akan menerajui penyelidikan berfokuskan ramalan teknologi baharu serta unjuran keperluan pasaran kerja masa hadapan bagi menyokong perancangan jangka panjang sektor pendidikan tinggi. - Bernama
