USIA bukan halangan untuk seorang pesara menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Hashim Mohd Yusof, 87, menerima skrol bagi program profesional itu pada sidang ketujuh, iaitu sidang terakhir Istiadat Konvokesyen UniMAP ke-21 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, pada Selasa.

Meskipun berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, pentadbiran dan pengurusan koperasi, warga emas itu berkata minat mendalam terhadap ilmu selain mahu mencabar kemampuan diri mendorongnya untuk menyambung pengajian dua tahun lepas.

"Peluang melanjutkan pengajian itu hadir selepas mendapatkan maklumat mengenai laluan pengajian berdasarkan pengalaman serta kelayakan profesional yang saya ada sebelum mengambil keputusan mendaftar di UniMAP.

- Advertisement / Iklan -

"Saya berpegang kepada prinsip pembelajaran sepanjang hayat, iaitu menuntut ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad. Bagi saya, selagi masih sihat dan mempunyai minat, tidak ada sebab untuk kita berhenti belajar," katanya.

Berasal dari Ipoh, Hashim berkata beliau mahu membuktikan kepada anak, cucu dan rakan-rakan bahawa walaupun sudah berusia, kita masih mampu mencapai kejayaan sekiranya mempunyai kesungguhan.

- Advertisement / Iklan -

"Pada awalnya, penggunaan teknologi menjadi cabaran kerana saya perlu menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran dalam talian. Namun, keluarga banyak membantu dan cucu-cucu sentiasa memberikan semangat supaya saya tidak berputus asa," katanya.

Hashim ketika mengulas mengenai perjalanan pendidikannya berkata beliau mendapat pendidikan di maktab perguruan sebelum memulakan kerjaya sebagai guru sekolah rendah pada 1962 manakala jawatan terakhirnya sebelum bersara ialah Penolong Pegawai Kurikulum di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

"Saya berkhidmat di beberapa sekolah termasuk di kawasan luar bandar sebelum dilantik sebagai guru besar dan seterusnya bertugas di JPN Perak. Saya masih aktif dalam Koperasi Yayasan Guru dan Penjawat Awam Malaysia Berhad sebagai setiausaha," katanya.

Hashim berkata, beliau berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk doktor falsafah sekiranya kesihatan terus mengizinkan dan diberikan kesempatan.

Warga emas itu turut menyeru golongan muda supaya tidak mensia-siakan peluang melanjutkan pelajaran bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran, sekali gus mempersiapkan diri menghadapi cabaran dunia pekerjaan serta membuka peluang menceburi bidang perniagaan. - Bernama