Dua pensyarah muda UKM ungguli Anugerah Saintis Muda Negara 2026
PENYELIDIKAN berkaitan kanser kolorektal dan pembangunan bahan termaju membawa dua pensyarah muda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Nadiah Abu dan Ts Dr Chen Ruey Shan, meraih Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN) 2026, pada Isnin.
Prof Madya Dr Nadiah dari Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI) menerima anugerah bagi kategori Biologi, manakala Ts Dr Chen dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) diiktiraf dalam kategori Fizik.
Prof Madya Dr Nadiah berkata, pengiktirafan itu diberikan menerusi penyelidikannya berkaitan vesikel ekstrasel (EV), khususnya dalam bidang kanser kolorektal.
Menurutnya, EV merupakan zarah bersaiz nano yang dilepaskan oleh sel, termasuk sel kanser, dan membawa maklumat penting untuk memahami perkembangan penyakit berkenaan.
“Antara penemuan penyelidikan ini ialah mengenal pasti molekul dalam EV yang berkaitan dengan ketahanan terhadap kemoterapi serta bagaimana EV boleh mempengaruhi fungsi sel imun.
“Kami juga sedang meneroka potensi EV untuk mengesan kanser melalui ujian darah,” katanya.
Beliau berharap penyelidikan itu dapat membantu mengesan kanser lebih awal, selain menyumbang kepada pembangunan rawatan yang lebih berkesan dan bersesuaian dengan keperluan setiap pesakit.
Pengiktirafan tersebut juga diharap menjadi pemangkin untuk beliau terus memperkukuh penyelidikan dalam bidang EV, memperluas kerjasama serta memberi inspirasi kepada generasi penyelidik muda untuk meneroka bidang sains dan menghasilkan penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Dr Nadiah merupakan antara pengasas Malaysian Society for Extracellular Vesicles (MySEV) dan pernah menerima beberapa pengiktirafan berprestij, termasuk Anugerah L’Oréal-UNESCO For Women in Science pada 2022.
Sementara itu, Ts Dr Chen berkata, pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin untuk beliau meneruskan penyelidikan berimpak tinggi menerusi kajian bertajuk Reka Bentuk Bahan Termaju Melalui Hubungan Struktur-Sifat dan Kawalan Antaramuka untuk Kelestarian Bahan dan Teknologi Tenaga.
Menurutnya, kajian itu memberi tumpuan kepada pembangunan bahan berteknologi tinggi dengan memanfaatkan sumber tempatan, termasuk bahan buangan yang boleh diproses semula menjadi produk bernilai tambah.
“Kajian ini merangkumi pembangunan bahan komposit berasaskan biojisim dan plastik kitar semula untuk menghasilkan bahan yang lebih kuat, tahan haba serta mampu melindungi daripada radiasi,” katanya.
Penyelidikan itu turut meneroka penggunaan mineral tempatan seperti ilmenit dan monazit bagi menghasilkan bahan untuk teknologi tenaga bersih, khususnya sel bahan api oksida pepejal.
Beliau berkata, penyelidikan berkenaan bertujuan menghasilkan bahan baharu berkualiti tinggi, mengurangkan pembaziran sumber serta menyokong pembangunan teknologi hijau dan kelestarian negara.
Beliau berharap hasil penyelidikan itu dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal dan bernilai tambah yang memberi manfaat kepada masyarakat, industri serta negara, khususnya dalam bidang bahan termaju dan teknologi tenaga.
ASMN 2026 mengiktiraf lima penyelidik muda dalam bidang Biologi, Kimia, Fizik, Kejuruteraan dan Industri atas kecemerlangan serta sumbangan mereka dalam penyelidikan dan inovasi.
Anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan kepada saintis muda negara berusia bawah 40 tahun yang menunjukkan kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain menyumbang kepada kemajuan sains, teknologi dan inovasi (STI).
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
