PENYELIDIK Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Profesor Madya Ir Ts Dr Serene Lock Sow Mun mencipta sejarah bagi institusi itu, selepas dinamakan sebagai penerima Anugerah Ahli Akademik Harapan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Beliau menerima pengiktirafan berprestij itu pada Anugerah Akademik Negara ke-17, yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir baru-baru ini, sekali gus menjadikannya ahli akademik pertama daripada UTP yang meraih penghormatan tersebut.

UTP dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Anugerah Ahli Akademik Harapan, secara khususnya mengiktiraf ahli akademik berumur 40 tahun dan ke bawah yang menunjukkan potensi tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, kepimpinan dan keakraban (semangat kerjasama).

Sebagai graduan kelas pertama kejuruteraan kimia daripada University of Toronto yang kemudiannya menamatkan ijazah sarjana dan kedoktoran di UTP, Serene telah mengetuai projek penyelidikan industri dan antarabangsa yang disokong dengan pembiayaan bernilai lebih RM25 juta sepanjang tujuh tahun lepas.

- Advertisement / Iklan -

Antara kejayaan komersial beliau ialah penyelesaian kejuruteraan berbantukan komputer untuk penyingkiran karbon dioksida, yang berjaya merangkul Anugerah Usahawan Penyelidik oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada Tahun Pengkomersialan Malaysia 2024.

Sebagai Ketua Kluster Tenaga Nuklear di Pusat Inovasi Tenaga Mampan, Alam Sekitar dan Sosial (SEnSI) UTP, beliau menerajui pembangunan kemudahan pengayaan isotop hidrogen bersepadu pertama di Malaysia.

- Advertisement / Iklan -

Inisiatif itu melibatkan perkongsian strategik dengan badan-badan utama pada peringkat domestik dan antarabangsa, termasuk Agensi Nuklear Malaysia, Pihak Berkuasa Tenaga Atom United Kingdom (UKAEA) dan Perbadanan Nuklear Kebangsaan China.

Sebagai memperluas komitmennya terhadap profesion dan komuniti, beliau berkhidmat di Bahagian Jurutera Wanita Institusi Jurutera Malaysia (IEM) selaku Setiausaha Kehormat dan mengetuai inisiatif yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita, tanggungjawab sosial korporat dan kelestarian alam sekitar.

Sumbangan beliau telah diiktiraf oleh institusi dan organisasi profesional, sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, termasuk dinobatkan sebagai penerima wanita pertama bagi Anugerah Ikon Kejuruteraan Muda Kebangsaan oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).

Penghargaan lain yang diterimanya termasuk Anugerah Jurutera Muda IEM, Anugerah Wanita dalam Teknologi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) (Kategori Junior) dan Anugerah Penyelidik Muda Majlis Kejuruteraan Kimia Dunia (WCCE), yang mencerminkan sumbangan beliau kepada inovasi kejuruteraan, kecemerlangan penyelidikan dan kemajuan profesion.

Mengulas mengenai penghormatan tersebut, Serene yang juga merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Kimia universiti itu berkata penyelidikan, harus menjangkaui dinding makmal untuk menangani cabaran dunia sebenar.

"Saya percaya penyelidikan tidak sepatutnya terhad di dalam sempadan makmal atau penerbitan akademik. Ia mesti mempunyai potensi untuk menangani cabaran sebenar, mencipta kemungkinan baharu dan menyumbang kepada keperluan industri serta masyarakat.

"Inilah yang terus mendorong kerja saya, terutamanya dalam bidang seperti penyahkarbonan dan teknologi tenaga baharu muncul,” katanya dalam satu kenyataan.

Menyifatkan kemenangan itu sebagai pencapaian kolektif, Serene berkata, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan UTP dalam memperkukuh ekosistem akademik dan penyelidikannya.

"Masih terdapat banyak perkara untuk diterokai dan pelbagai cabaran yang memerlukan pemikiran baharu. Saya melihat pengiktirafan ini sebagai satu galakan untuk terus belajar, menyumbang dan melangkaui sempadan,” katanya. - Bernama