KEPIMPINAN dalam membawa perubahan organisasi dan memperkasa pembangunan insan terus mendapat pengiktirafan apabila Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin menerima Movers and Shakers Award pada The Asia HRD Awards 2026.

Pengiktirafan itu disampaikan pada majlis yang berlangsung di Millennium Hilton, Bangkok, Thailand, pada Khamis sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan manusia dan organisasi.

Anugerah berkenaan turut membawa pengiktirafan kepada UTeM, khususnya dalam usaha memperkukuh kepimpinan strategik, pembangunan modal insan, inovasi organisasi dan transformasi institusi.

Menurut kenyataan UTeM, pencapaian itu mencerminkan kepentingan kepimpinan dalam membina budaya perubahan serta menterjemahkan aspirasi organisasi kepada inisiatif yang memberikan impak lebih luas.

- Advertisement / Iklan -

The Asia HRD Awards merupakan anugerah bebas bertaraf antarabangsa yang diperkenalkan sejak 2003 bagi mengiktiraf individu, profesional sumber manusia dan organisasi yang menyumbang kepada pembangunan manusia, komuniti serta masyarakat.

Dengan penyertaan penerima dari 25 negara, anugerah itu menjadi platform untuk mengiktiraf kepimpinan dan amalan terbaik dalam pembangunan sumber manusia serta kecemerlangan organisasi.

- Advertisement / Iklan -

Pengiktirafan terbaharu itu menambah senarai pencapaian Massila, termasuk World Outstanding Education Leadership Award 2026, World Women Empowerment Impact Award 2026, Education Transformation Leadership Award 2026 dan Anugerah Kepimpinan Ikon Pendidikan Malaysia 2026.

Beliau turut menerima World Responsible AI Leadership Award 2025, Outstanding Education Icon Leadership Excellence Award 2025 serta World Distinguished Women Leader Lifetime Achievement Award 2024.

Deretan pengiktirafan itu merangkumi bidang pendidikan tinggi, pemerkasaan wanita, kecerdasan buatan (AI) dan transformasi pendidikan, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian bidang kepimpinan yang diceburi beliau.