Hampiri tiga dekad, ICYM perkasa kebolehpasaran graduan
HAMPIR tiga dekad selepas ditubuhkan pada 1997, Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM) terus menyesuaikan program pengajiannya dengan keperluan industri dan pasaran kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Usaha itu diketengahkan pada Majlis Konvokesyen ICYM Kali Ke-22 yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Kampus Induk, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.
Seramai 672 graduan menerima pengiktirafan dalam majlis yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah ICYM, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Ketua Pegawai Eksekutif ICYM, Aminalrashid Mohd Hussain berkata, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman kerja atau Work-Based Learning (WBL) membantu menghubungkan pengajian dengan keperluan industri.
“Pelajar menjalani latihan di syarikat berkaitan bidang pengajian selama kira-kira dua semester. Pengalaman ini membantu mereka memahami budaya kerja, mengaplikasikan ilmu dan membina kemahiran sebelum tamat pengajian,” katanya.
Dengan sokongan lebih 750 rakan industri, pelajar turut berpeluang dipertimbangkan untuk mengisi jawatan bersesuaian, tertakluk kepada keperluan majikan.
Mulai 2027, ICYM merancang memperkenalkan laluan kelayakan berganda yang menggabungkan kelayakan akademik dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan Diploma Teknologi Elektrik sebagai program perintis.
Program pengajian ICYM ketika ini merangkumi bidang perniagaan, hospitaliti, media kreatif, sains sosial dan teknologi. Kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut menyediakan laluan pengajian pada peringkat diploma dan ijazah.
Selain itu, ICYM mendedahkan pelajar kepada bidang digital, kecerdasan buatan (AI) dan latihan industri antarabangsa bagi mempersiapkan mereka menghadapi perubahan dunia pekerjaan.
Institusi itu turut menyasarkan peningkatan jumlah pelajar antarabangsa kepada 500 orang bermula 2027, sekali gus memperluas akses pendidikan dan mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih global.
Menjelang tiga dekad penubuhannya, ICYM bukan sahaja meraikan pencapaian yang diraih, malah terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh akses pendidikan, hubungan industri dan laluan kerjaya yang relevan dengan keperluan masa depan.