UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan, akademik, latihan industri dan kebudayaan.

UiTM Kedah menerusi kenyataan memaklumkan, kerjasama strategik itu membuka peluang kepada kedua-dua institusi untuk melaksanakan penyelidikan, perkongsian kepakaran, pembangunan kapasiti serta penganjuran program akademik dan kebudayaan yang memberikan manfaat kepada mahasiswa dan masyarakat.

No Image Caption

Menurut kenyataan itu, pada majlis yang berlangsung di Wisma DBP, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi, mewakili Naib Canselor UiTM menandatangani MoU berkenaan, manakala Rektor UiTM Cawangan Kedah Profesor Madya Dr Mahazir Ismail bertindak sebagai saksi.

- Advertisement / Iklan -

Majlis itu turut diadakan bersempena dengan Hari Digital DBP 2026 yang bertemakan "Pembaharuan Tadbiran dan Inovasi Sektor Awam ke Arah Pemerkasaan DBP Gemilang".

"Kerjasama ini turut menjadi kesinambungan kepada pelantikan Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Hazami Jahari sebagai Profesor Adjung di universiti berkenaan, sekali gus memperkukuh perkongsian kepakaran antara kedua-dua institusi," menurut kenyataan itu pada Khamis.

- Advertisement / Iklan -

Sementara itu, Mahazir dalam kenyataan sama berharap pemeteraian MoU itu menjadi titik tolak kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif kerjasama yang mampu memberikan manfaat nyata.

Beliau berharap kerjasama itu diterjemahkan menerusi program berimpak tinggi yang melibatkan warga akademik, mahasiswa dan pakar industri, khususnya dalam penyelidikan, penghasilan karya serta pembangunan ilmu.

"Perkongsian kepakaran antara UiTM dan DBP diyakini mampu membuka peluang baharu dalam pembangunan ilmu, penghasilan karya dan penyelidikan, di samping memperluas pendedahan mahasiswa terhadap bidang kebahasaan, persuratan dan kebudayaan," katanya.

No Image Caption

Kenyataan itu turut memaklumkan kerjasama itu menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk memperoleh pengalaman pembelajaran lebih menyeluruh melalui penglibatan dalam projek penyelidikan, program akademik dan kebudayaan serta peluang latihan industri yang bersesuaian.

Dalam pada itu, Hazami dalam ucapannya pada majlis itu berkata DBP terus memperkukuh transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan bahasa, sastera, penerbitan serta ilmu kepada masyarakat.

Beliau berkata, pendigitalan bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya menjadi keperluan bagi memastikan organisasi sektor awam kekal relevan, cekap, telus dan responsif terhadap kehendak rakyat.

"Pendigitalan bukan sahaja memperkukuh kecekapan pengurusan organisasi, malah membuka ruang yang lebih luas untuk merekayasa mod dan proses penyampaian perkhidmatan bahasa, sastera, penerbitan dan ilmu kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata, DBP telah membangunkan 28 produk dan 16 perkhidmatan digital yang menyokong fungsi teras institusi itu dalam bidang bahasa, sastera, penerbitan dan pengurusan.

Selain itu, dalam tempoh 2026 hingga 2028, sebanyak 11 sistem baharu akan dibangunkan, antaranya Sistem Pengurusan Perpustakaan Bersepadu DBP, e-Pedia, Portal Penggerak Industri Buku Negara dan Sistem Pengurusan Pembelajaran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, pembaharuan sektor awam memerlukan penjajaran strategik organisasi dan pelaksanaan inovasi secara menyeluruh bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kekal cekap serta berkesan.

"Usaha memperkukuh ekosistem digital bahasa Melayu turut memerlukan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi, pihak industri, ahli akademik dan masyarakat. Setiap agensi menyumbang data dan kepakaran, manakala DBP menyatukan kualiti linguistik dan standard bahasa," katanya.

Beliau berkata, usaha bersepadu itu penting bagi memastikan bahasa Melayu terus berkembang sebagai bahasa ilmu, sains dan teknologi moden, termasuk dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) negara. - Bernama