HAMPIR 2,000 warga Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) menyertai Kempen Cuci-Cuci Malaysia 2026 sempena sambutan World Cleanup Day dalam usaha memupuk kesedaran alam sekitar dan membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan generasi muda, baru-baru ini.

Program gotong-royong mega peringkat negeri Pahang itu melibatkan pelajar, barisan pengurusan, pensyarah serta kakitangan sokongan kolej.

Inisiatif berkenaan dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dengan kerjasama strategik Kelab Go Nature KMPh dan Majlis Felo Kolej Kediaman KMPh, bermula seawal jam 7 pagi.

Aktiviti dimulakan dengan plogging iaitu berjoging sambil mengutip sampah di sekitar kawasan kampus KMPh.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Aktiviti itu turut menjadi sebahagian daripada usaha untuk memecahkan rekod dalam Malaysia Book of Records.

- Advertisement / Iklan -

Penyelaras program, Nurhidah Munawer berkata, beliau berbangga dan teruja dengan sambutan menggalakkan daripada seluruh warga kolej terhadap penganjuran program berkenaan.

Menurutnya, penglibatan menyeluruh pelbagai lapisan warga KMPh membuktikan semangat mencintai kebersihan alam sekitar semakin menebal dalam kalangan masyarakat kampus.

Sementara itu, wakil Pengarah KMPh, Wan Zai Azlin Wan Aziz yang juga Ketua Jabatan Sains berkata, program berkenaan berjaya mencapai matlamat utamanya ketika menyempurnakan majlis perasmian penutupan.

Beliau berkata, komitmen dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan warga kolej sejak awal pagi mencerminkan kesungguhan dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah prihatin terhadap kelestarian persekitaran.

No Image Caption

Majlis penutupan turut diserikan dengan acara cabutan bertuah yang menawarkan 30 hadiah menarik bernilai keseluruhan RM1,000 sebagai tanda penghargaan kepada peserta.

Bagi mengiktiraf sumbangan sukarelawan, pihak urus setia turut menyediakan e-Sijil Penyertaan dan e-Sijil Sukarelawan Hero Kebersihan kepada peserta, selain Sijil Penghargaan kepada agensi yang terlibat.

Penganjuran program seumpama itu diharap dapat memupuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta menjadikan amalan kebersihan sebagai gaya hidup, selaras dengan aspirasi membentuk masyarakat yang lestari dan prihatin.