KERJASAMA pelajar universiti, ahli akademik dan wakil penduduk menerusi inisiatif Kebun Komuniti Social Lab membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti Kampung Kuyungon, Sabah, melalui pembangunan pertanian, inovasi sosial dan agribisnes.

Inisiatif itu melibatkan Nathaniel Maikol, pelajar Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), serta Mohamad Zaki Mohamad Saad yang mengikuti dua program sarjana, iaitu Sarjana Sains Agronomi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di INTI International University.

Usaha berkenaan turut mendapat sokongan Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Shafinah Kamarudin, serta kerjasama Oswald V Iking selaku wakil penduduk Kampung Kuyungon.

No Image Caption

- Advertisement / Iklan -

Menerusi idea yang dibangunkan bersama komuniti, inisiatif itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada aktiviti penanaman, malah turut meneroka penghasilan produk hiliran seperti buah-buahan kering dan sabun herba.

Nathaniel dan Mohamad Zaki, dengan sokongan Dr Shafinah, turut membangunkan kerangka agribisnes bagi membantu penduduk mengenal pasti potensi produk tempatan serta meneroka peluang pemasaran.

- Advertisement / Iklan -

Menurut laporan APPGM-SDG bertajuk Diverse Voices and Stories Through Food Security Initiatives, pendapatan harian yang dilaporkan bagi komuniti Kampung Kuyungon meningkat daripada RM1,200 kepada RM2,000.

Peningkatan itu menunjukkan potensi pembangunan komuniti berasaskan pertanian dan keterjaminan makanan dalam memperluas peluang ekonomi penduduk, khususnya melalui penghasilan produk bernilai tambah dan penerokaan pasaran.

Selain itu, produk komuniti Kampung Kuyungon serta sebuah buku separa ilmiah berkaitan kampung berkenaan turut dipamerkan pada Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2026 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Oktober lalu.

Penyertaan dalam pameran itu turut memperlihatkan usaha komuniti memperkenalkan produk tempatan kepada khalayak lebih luas, di samping mengetengahkan potensi pembangunan berasaskan pertanian dan inovasi sosial.

Inisiatif Kebun Komuniti Social Lab berkenaan memperlihatkan bagaimana kerjasama antara pelajar, ahli akademik dan wakil penduduk dapat menghubungkan ilmu universiti dengan keperluan sebenar masyarakat luar bandar.

Pendekatan itu bukan sahaja membuka ruang kepada pembangunan inovasi produk dan peluang keusahawanan, malah berpotensi mengukuhkan ekonomi komuniti secara lebih mampan melalui penerapan pengetahuan akademik dalam usaha pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.