MAHASISWA pascasiswazah Universiti Putra Malaysia (UPM) memanfaatkan sukan pickleball sebagai medium mengeratkan hubungan dan memperluas jaringan profesional menerusi program Pickleball 101: A Newbie’s Introduction.

Program anjuran MBA Club, School of Business and Economics (SBE), UPM itu berlangsung di HA Megah Sports Arena, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dengan penyertaan lebih 20 peserta terdiri daripada mahasiswa pascasiswazah tempatan dan antarabangsa, pensyarah serta staf universiti.

Kehadiran ahli keluarga termasuk anak-anak peserta turut memeriahkan program, sekali gus mewujudkan suasana mesra keluarga yang menggalakkan keseimbangan antara komitmen akademik, kerjaya dan kehidupan peribadi.

No Image Caption

- Advertisement / Iklan -

Program itu turut mencerminkan elemen sosial dalam kerangka Environmental, Social and Governance (ESG) menerusi aktiviti yang menggalakkan kesejahteraan, interaksi sosial dan pengukuhan komuniti universiti.

Pengarah program, Norashikin Azmi berkata, aktiviti riadah sedemikian penting untuk mahasiswa pascasiswazah yang kebanyakannya perlu membahagikan masa antara kerjaya, keluarga dan pengajian.

- Advertisement / Iklan -

“Kadangkala, program seperti ini lebih sinonim dengan mahasiswa prasiswazah, tetapi mahasiswa pascasiswazah juga memerlukan ruang untuk beriadah dan berinteraksi di luar bilik kuliah.

“Konsepnya santai tapi sampai. Kita bukan sahaja datang untuk bersukan, tetapi juga mengambil peluang untuk mengenali satu sama lain, mengeratkan hubungan dan membina jaringan profesional,” katanya.

No Image Caption

Menurut Norashikin, pickleball dipilih kerana mudah dipelajari dan sesuai untuk pelbagai peringkat kemahiran, termasuk peserta yang pertama kali mencuba sukan berkenaan.

Program itu turut menampilkan tiga alumni, iaitu Hasrul Hisham Husain@Hashim, Muhammad bin Dinsuhaimi dan Nadiah binti Johari, yang membimbing peserta menguasai teknik asas, memahami peraturan serta mempelajari kemahiran permainan.

Selain sesi latihan, program berkenaan turut diserikan dengan perlawanan persahabatan bagi membolehkan peserta mempraktikkan kemahiran yang dipelajari.

No Image Caption

Dalam saingan kategori bergu, pasangan Syed Mohammad Darwisy Syed Indera dan Nurrul Naim muncul juara.

Bagi Syed Mohammad Darwisy Syed Indera, penyertaan dalam program itu bukan sahaja memberinya peluang mencuba sukan baharu, malah mengenali rakan daripada pelbagai latar belakang.

“Pada mulanya saya hanya ingin mencuba sukan baharu, tetapi tidak sangka dapat berkenalan dengan ramai rakan. Walaupun pertama kali bermain, semua peserta saling memberi semangat dan menjadikan pengalaman ini lebih bermakna,” katanya.

Sementara itu, Penasihat MBA Club SBE UPM, Profesor Madya Dr Raja Nerina Raja Yusof berkata, aktiviti di luar bilik kuliah memberikan nilai tambah kepada pengalaman pengajian pascasiswazah, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara ahli akademik dan golongan profesional.

“Mahasiswa pascasiswazah hadir dengan pengalaman, kepakaran dan perspektif berbeza daripada pelbagai sektor. Pertemuan dalam suasana tidak formal seperti ini membuka ruang kepada perkongsian idea serta hubungan profesional yang berpotensi diteruskan selepas tamat pengajian,” katanya.

Norashikin berharap penganjuran program seumpama itu dapat diteruskan bagi menggalakkan gaya hidup aktif, memperkukuh jaringan komuniti serta memupuk hubungan berpanjangan dalam kalangan warga SBE UPM.