Jubli Emas MENTION satukan 125 alumni rentas generasi
SAMBUTAN Jubli Emas 50 Tahun Pusat Pengajian Media dan Komunikasi (MENTION) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menyatukan kembali 125 alumni merentas generasi, bekas tenaga pengajar serta warganya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) di sini.
Majlis penuh nostalgia bagi meraikan setengah abad kecemerlangan fakulti itu diserikan dengan kehadiran barisan tokoh industri media, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pegawai Kandungan Kumpulan Star Media Group (SMG), Datin Paduka Esther Ng Sek Yee.
Turut memeriahkan majlis ialah Profesor Emeritus Dr Samsudin A. Rahim yang juga antara penuntut kohort pertama Jabatan Perhubungan; bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Jahid Jahim serta Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dr Karuna Nithy Y Subbiah.
Antara alumni lain yang hadir termasuk bekas Timbalan Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan, Hashim Bedu dan Editor Kandungan Video Unit Berita dan Ehwal Semasa Media Prima, Phang Chin Fei.
Kemuncak sambutan diserikan dengan pelancaran tayangan video khas MENTION50, inisiatif Tabung Alumni MENTION serta naskhah memoir bertajuk "Emas: Memori & Kenangan”.
MENTION yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Komunikasi ditubuhkan secara rasmi pada Disember 1975 atas syor Fakulti Sastera ketika itu bersama Jawatankuasa Akademik menerusi mesyuarat ke-39 pada 18 Oktober 1973.
Penubuhan jabatan berkenaan diperkukuh menerusi pembentukan satu jawatankuasa khas oleh Majlis Pengurusan Universiti pada 9 November 1973 bagi memperincikan kewajaran penubuhannya, sekali gus merintis laluan kepada kecemerlangan bidang pendidikan media dan komunikasi di UKM sehingga kini. - Bernama
