Makmal AI baharu, ruang mahasiswa UPSI cipta inovasi
MAHASISWA Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal mendapat lebih banyak peluang meneroka teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi penubuhan HONOR AI Lab @ UPSI hasil kerjasama universiti itu dengan HONOR Technology (Malaysia) Sdn Bhd.
Inisiatif berkenaan dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) yang turut memberi ruang kepada warga akademik memperluas penyelidikan dan inovasi, selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan ekonomi digital negara.
Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff dan Pengurus Besar HONOR, Chen Long serta disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, pada Rabu.
Menurut Md Amin, penubuhan makmal berkenaan merupakan langkah strategik untuk memperluas akses kepada teknologi AI, selain menyediakan pengalaman pembelajaran yang menghubungkan pengetahuan di bilik kuliah dengan aplikasi sebenar industri.
“Kerjasama ini memberi peluang kepada warga UPSI untuk memperoleh pendedahan praktikal terhadap perkembangan teknologi AI, sekali gus merapatkan jurang antara pembelajaran teori di bilik kuliah dengan aplikasi sebenar dalam industri.
“Melalui kemudahan dan program yang disediakan, pelajar dapat meningkatkan kompetensi teknikal serta kemahiran insaniah, manakala pensyarah berpeluang memperkukuh pengajaran dan penyelidikan melalui penggunaan teknologi AI,” katanya.
HONOR menaja RM400,000 bagi pembangunan makmal itu yang akan berfungsi sebagai hab pelaksanaan pelbagai aktiviti berkaitan AI, termasuk bengkel, program pensijilan profesional, mobiliti pelajar, latihan industri, pertandingan inovasi dan sesi perkongsian bersama pihak industri.

Kemudahan berkenaan turut menyediakan akses kepada peralatan pengkomputeran AI, alat pembangunan serta perkakasan sokongan bertaraf industri untuk membantu pensyarah menerapkan aplikasi AI dalam kurikulum, selain melaksanakan projek penyelidikan dan inovasi.
Md Amin berkata, kemudahan itu dijangka membuka lebih banyak ruang kerjasama antara ahli akademik dengan pakar industri bagi meneroka perkembangan teknologi AI dan menghasilkan penyelesaian yang memenuhi keperluan semasa.
Pada masa sama, mahasiswa UPSI berpeluang mengikuti pembelajaran berasaskan projek, pertandingan inovasi, program mobiliti dan latihan industri untuk meningkatkan pengalaman praktikal dalam bidang berkenaan.
Program pensijilan profesional pula dapat membantu pelajar membangunkan kompetensi teknikal dan kemahiran keusahawanan yang selaras dengan standard kompetensi kebangsaan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam pasaran kerja yang semakin dipacu teknologi.
Sementara itu, Chen berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen HONOR untuk memperluas akses kepada ekosistem AI dan memperkasa pembangunan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri teknologi yang semakin berkembang.
“HONOR komited untuk merapatkan ekosistem AI dengan semua pengguna, dan perkongsian dengan UPSI ini adalah langkah penting dalam memperkasa generasi bakat Malaysia yang seterusnya.
“Dengan membuka sempadan industri kami dan bekerjasama rapat dengan akademik, kami berharap dapat bersama-sama mewujudkan ekosistem perkongsian nilai yang memberi manfaat kepada pelajar, penyelidik dan komuniti yang lebih luas,” katanya.
Di bawah perjanjian selama dua tahun itu, HONOR AI Lab akan ditempatkan di Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) dan dimiliki serta diuruskan oleh Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) UPSI.
Penubuhan makmal itu diharap dapat memperkukuh hubungan antara universiti dengan industri, di samping menyediakan ruang kepada mahasiswa dan penyelidik untuk membangunkan kemahiran serta menghasilkan inovasi AI yang relevan dengan keperluan masa depan.
