Genggaman terhad, inovasi hebat!
SUKAR menggenggam bukan penghalang untuk mengisi bahan api apabila sekumpulan pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) menghasilkan inovasi yang membantu individu dengan kekangan genggaman tangan membuka penutup tangki bahan api.
Projek bertajuk Pembuka Penutup Tangki Bahan Api untuk Individu yang Mempunyai Kekangan Genggaman Tangan itu meraih kemenangan dalam kategori Teknikal pada pertandingan Applied Project Excellence Exhibition (APEX) 2026, sekali gus mengetengahkan peranan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam menghasilkan penyelesaian praktikal untuk masyarakat.
Inovasi itu dihasilkan oleh R Chanjei, Siti Zubaidah Abdullah, Nur Adriana Iman Mohd Harman dan R Sutharsanan di bawah seliaan Dr. Nur Raihana Sukri.

Edisi ketiga APEX yang bertemakan “Inovasi ke Arah Masa Depan Mampan: Mencetus Idea, Mencipta Impak” menghimpunkan 32 kumpulan terbaik daripada enam jabatan akademik PUO untuk bersaing dalam kategori Teknikal dan Sains Sosial.
Bagi kategori Sains Sosial, projek AutoConstruct: Sistem Pintar Pemantauan Prestasi dan Pengurusan Kontraktor Perusahaan Kecil dan Sederhana muncul sebagai juara menerusi pembangunan sistem digital bagi membantu pengurusan serta pemantauan prestasi kontraktor.
Sebanyak 23 panel juri, termasuk 11 juri luar daripada sektor kerajaan dan swasta, menilai projek yang dipertandingkan. Daripada keseluruhan penyertaan, 11 kumpulan meraih pingat emas, manakala 21 kumpulan menerima pingat perak.

Timbalan Pengarah Akademik PUO, Norman Zamri berkata, penganjuran APEX menyokong usaha memperkukuh penyelidikan berasaskan misi bagi menghasilkan inovasi yang mampu menangani cabaran sebenar industri dan masyarakat.
“Melalui program seperti ini, kita bukan sekadar mempamerkan hasil kerja pelajar, tetapi membina keyakinan, nilai integriti dan pemikiran kreatif yang merupakan elemen penting bagi melahirkan tenaga kerja TVET yang berdaya saing,” katanya pada majlis penutupan APEX 2026 di PUO.
Beliau turut menggalakkan pelajar menyertai pertandingan inovasi di peringkat luar serta mendaftarkan harta intelek bagi meningkatkan potensi produk untuk diaplikasikan dan dikomersialkan.
Usaha itu selari dengan sasaran PUO mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) berkaitan produk inovasi yang diaplikasikan menjelang 2027, sekali gus memastikan hasil kreativiti pelajar berpotensi dimanfaatkan di luar lingkungan kampus.
