SERAMAI kira-kira 400 tetamu jemputan menghadiri PolyCC Fashion Week 2026 (POLYCCFW 2026) yang menghimpunkan bakat fesyen daripada 18 institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) seluruh negara di Panggung Sari, Pusat Kraftangan, Jalan Conlay, di sini, pada 5 Oktober lalu.

Menurut kenyataan Kolej Komuniti Rembau, program bertemakan “Threads of Time” itu diterajui institusi berkenaan bersempena Malaysia International Craft Fair 2026 (MICF 2026) bagi mengetengahkan kreativiti, inovasi dan kemahiran teknikal pelajar TVET dalam bidang fesyen dan pakaian.

Penganjuran itu melibatkan 16 Kolej Komuniti dan dua Politeknik yang mempersembahkan koleksi rekaan menerusi tiga segmen utama iaitu Alumni PolyCC, Heritage Collections dan Contemporary Collections.

Setiap koleksi menggabungkan elemen warisan dengan sentuhan kontemporari, sekali gus memperlihatkan keupayaan pelajar menghasilkan rekaan yang mempunyai identiti tersendiri tanpa mengetepikan nilai budaya.

- Advertisement / Iklan -

Program itu turut mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kehadiran Ketua Setiausahanya, Datuk Ts. Dr Haji Aminuddin Hassim, bersama warga PolyCC, pemain industri dan rakan strategik.

Pendedahan kepada suasana penganjuran acara fesyen berstandard industri turut memberi peluang kepada pelajar mengasah kemahiran dalam pengurusan acara, pengendalian pentas peragaan, protokol, koordinasi persembahan dan profesionalisme.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Dalam perkembangan sama, Kolej Komuniti Rembau menerima Anugerah Pereka Kreatif, manakala Kolej Komuniti Batu Gajah meraih Anugerah Reka Bentuk Inovasi dan Anugerah Khas AEON Best Choice Award.

Kolej Komuniti Kuching pula menerima Anugerah Warisan Fesyen, diikuti Kolej Komuniti Arau yang memenangi Anugerah Eksplorasi Tekstil dan Material. Kolej Komuniti Pagoh dinobatkan sebagai penerima Anugerah Persembahan Terbaik.

Kecemerlangan peserta itu memperlihatkan kepelbagaian bakat pelajar TVET dalam aspek kreativiti, inovasi, penerokaan bahan dan penghayatan warisan, selain keupayaan mempersembahkan hasil rekaan secara profesional.

Acara turut dimeriahkan dengan persembahan khas penyanyi Amylea Azizan dan Alyssa Dezek serta persembahan kebudayaan oleh pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Menurut kenyataan itu, penganjuran POLYCCFW 2026 turut memperkukuh kerjasama antara Kolej Komuniti, Politeknik, Kraftangan Malaysia, Karyaneka dan pemain industri bagi membangunkan bakat serta memperluas promosi pendidikan TVET.

Platform berkenaan diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk membina keyakinan, memperluas jaringan industri dan membawa hasil kreativiti ke pasaran, sekali gus menyumbang kepada perkembangan industri fesyen serta ekonomi kreatif negara.