BERMULA sebagai sebuah dewan latihan pada 1956 dengan misi memperkasa pendidikan dan ekonomi bumiputera, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkembang dan kini menjadi antara institusi pendidikan tinggi terbesar negara, dengan kira-kira 200,000 pelajar di 34 kampus.

Saiz dan sejarah panjang itu bagaimanapun tidak bermakna UiTM perlu kekal dalam acuan lama, dan mengambil kira pencapaiannya sejak lebih tujuh dekad lalu berserta perkembangan semasa, institusi ini melancarkan Pelan Strategik UiTM 2030 bagi memastikan mereka kekal relevan dalam landskap pendidikan tinggi yang pantas berubah, selain menjadi pemacu pembangunan bumiputera dan negara.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata, pelan strategik itu yang diperkenalkan pada 25 Ogos lalu, adalah kesinambungan daripada Pelan Strategik UiTM 2025 yang mencapai kira-kira 85 peratus daripada sasaran ditetapkan.

Menerusi Pelan Strategik UiTM 2025, UiTM mencapai kedudukan terbaik QS World University Rankings 2026 dalam tempoh tujuh dekad penubuhannya, melonjak 45 anak tangga untuk berada di kedudukan  524 dunia daripada 1,501 universiti, yang turut meletakkan UiTM dalam kalangan 36 peratus institusi pengajian tinggi terbaik.

- Advertisement / Iklan -

Selain itu, UiTM turut berjaya meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan daripada 85 peratus kepada 94.5 peratus.

Bagi Shahrin, pencapaian itu bukan titik akhir, sebaliknya menjadi asas untuk UiTM menentukan hala tuju lima tahun berikutnya.

- Advertisement / Iklan -

"Dahulunya kita menekankan KPI (petunjuk prestasi utama). Sekarang fokus utama kita adalah pada impak. Bukan kita tidak kisahkan proses, proses tetap perlu dibuat, diukur dan dinilai, tetapi kita kumpulkan semuanya kepada impak," katanya, baru-baru ini. 

DARIPADA KPI KEPADA IMPAK 

Jika sebelum ini kejayaan lebih mudah dilihat melalui angka dan pencapaian sasaran, pendekatan baharu mahu melihat sejauh mana kewujudan UiTM benar-benar dirasai oleh siswazah, keluarga, masyarakat, industri dan negara.

Ulas Shahrin, ini bermakna ukuran kejayaan tidak terhenti pada persoalan berapa ramai siswazah yang dihasilkan, tetapi sejauh mana mereka mampu mendapat pekerjaan, mencipta pekerjaan, meningkatkan taraf hidup keluarga dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, di bawah pelan strategik lima tahun akan datang, UiTM menyasarkan kadar  kebolehpasaran graduan melebihi 95 peratus menjelang 2030, berbanding 94.5 peratus ketika ini.

Pada masa sama, universiti itu mahu meningkatkan kadar graduan yang menjadi usahawan kepada 10 peratus berbanding sekitar 5.4 peratus ketika ini.

Hasratnya jelas, agar graduan UiTM tidak hanya dilihat sebagai pencari kerja, tetapi turut mampu menjadi pencipta pekerjaan.

"Pendekatan itu juga selari dengan misi asal UiTM sebagai instrumen mobiliti sosial. Dengan lebih sejuta alumni, kesan sebuah universiti yang melahirkan graduan dalam jumlah besar tidak terhad pada individu, malah boleh merentasi keluarga dan komuniti.

"Seorang graduan yang memperoleh pekerjaan misalnya, bukan sahaja mengubah kehidupan dia sendiri, tetapi berpotensi membantu keluarga, menghantar adik-beradik mendapatkan pendidikan dan akhirnya membina generasi baharu yang mempunyai peluang lebih baik," jelas beliau. 

UNIVERSITI PERLU PANTAS BERUBAH 

Dalam landskap pendidikan tinggi yang dipengaruhi perkembangan teknologi, perubahan pasaran pekerjaan dan persaingan global, UiTM tidak boleh bergantung pada pendekatan yang statik, justeru Pelan Strategik UiTM 2030 dirangka sebagai "dokumen hidup" yang boleh disesuaikan mengikut perkembangan semasa.

Shahrin berkata, perubahan itu penting kerana bidang yang menjadi keutamaan hari ini belum tentu mempunyai kepentingan sama dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

Katanya, semikonduktor, aeroangkasa, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan kriptografi antara bidang yang sedang berkembang, namun pada masa sama UiTM perlu memastikan bidang seperti undang-undang, perubatan, seni, reka bentuk, pendidikan dan sains sosial turut beradaptasi dengan perubahan teknologi.

"Dalam konteks AI misalnya, UiTM mahu elemen kecerdasan buatan diintegrasikan ke dalam semua bidang pengajian, bukan sekadar menawarkan satu kursus AI yang sama kepada semua pelajar.

"Pelajar undang-undang perlu memahami aplikasi AI dalam sistem perundangan, pelajar perubatan memahami penggunaannya dalam bidang kesihatan, manakala pelajar seni dan reka bentuk pula perlu memperkukuh aspek kreativiti, keaslian dan nilai tambah dalam berdepan persaingan kandungan yang dijana AI.

"Pendekatan ini menggambarkan satu prinsip penting dalam UiTM 2030, iaitu bukan semua bidang perlu menjadi bidang tumpuan pada masa yang sama, tetapi semua bidang perlu bersedia berubah mengikut keperluan negara," katanya.

ACUAN BAHARU

Menerusi pelan strategik itu, UiTM juga mahu memperluas konsep industri dalam kampus atau teaching factory, yang membolehkan pelajar menimba pengalaman dalam suasana pekerjaan sebenar ketika masih berada dalam persekitaran universiti.

Mengambil contoh bidang semikonduktor, beliau berkata tumpuan bukan hanya pada penyediaan tenaga kerja, tetapi mula bergerak ke arah reka bentuk dan penyelidikan yang mempunyai kaitan langsung dengan industri.

Pada masa sama, kaedah penyampaian pendidikan juga sedang berubah. Program work-based learning, micro-credential, program stackable dan laluan APEL (Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu) membuka ruang kepada pelajar serta golongan dewasa untuk memperoleh kelayakan melalui laluan yang lebih fleksibel.

"Model ini penting dalam dunia pekerjaan yang tidak lagi menjadikan kelayakan akademik sebagai satu-satunya ukuran kemahiran. Pekerja perlu sentiasa belajar, meningkatkan kemahiran, mempelajari semula kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

"Namun, transformasi besar seperti itu memerlukan asas kewangan yang kukuh," katanya. 

Dengan skala UiTM yang besar dan yuran pengajian yang rendah bagi memastikan akses pendidikan tinggi kepada bumiputera, Shahrin berkata universiti itu berdepan cabaran untuk mengurangkan kebergantungan pada pembiayaan kerajaan tanpa menjejaskan fungsi sosialnya.

Ketika ini UiTM menjana lebih RM400 juta setahun dan angka itu mahu diperkukuh menerusi pengkomersialan aset, penyelidikan, program profesional, pengajian pascasiswazah dan kerjasama industri.

Model pendanaan baharu itu pada asasnya bertujuan memastikan sebahagian sumber daripada program yang mempunyai keupayaan menjana pendapatan dapat membantu mengekalkan akses pendidikan kepada kumpulan pelajar prasiswazah yang lebih besar, jelas beliau.

KEMBALI KEPADA AKAR

Selain itu, UiTM melihat pendidikan bukan sekadar proses memindahkan ilmu, tetapi usaha membentuk manusia yang mempunyai ilmu, kemahiran dan sikap.

Oleh sebab itu,  Shahrin berkata elemen "DNA UiTM" dan konsep "budi" diberi perhatian dalam membentuk siswazah yang bukan sahaja kompeten dalam profesion, tetapi mempunyai integriti, amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat.

Pendekatan itu juga mengembalikan UiTM kepada akar penubuhannya, iaitu pendidikan sebagai instrumen untuk mengubah nasib individu dan masyarakat bumiputera.

"Bezanya, cabaran hari ini jauh lebih kompleks. Dunia pekerjaan berubah pantas, teknologi seperti AI mengubah cara manusia bekerja, persaingan institusi pendidikan semakin sengit dan keperluan industri sentiasa bergerak.

"Justeru, UiTM 2030 tidak boleh sekadar menjadi pelan untuk lima tahun akan datang, tetapi perlu menjadi kerangka yang membolehkan universiti bertindak pantas apabila keperluan negara berubah," katanya. 

Dengan sasaran kebolehpasaran melebihi 95 peratus, peningkatan keusahawanan, integrasi AI dalam kurikulum, pengukuhan hubungan industri, model pendidikan fleksibel serta usaha memperkukuh pendanaan sendiri, UiTM berhasrat untuk beralih daripada sekadar menghasilkan graduan kepada membina bakat yang mampu membentuk masa depan.

Selepas tujuh dekad, cabaran UiTM bukan lagi sekadar bagaimana untuk terus bertahan atau kekal relevan, sebaliknya persoalan yang lebih besar ialah bagaimana sebuah institusi yang lahir daripada aspirasi memperkasa bumiputera dapat terus memainkan peranan dalam Malaysia yang semakin kompleks, berteknologi tinggi dan kompetitif.

Semua itu diterjemahkan menerusi Pelan Strategik UiTM 2030 yang menggariskan pendekatan lebih pantas, fleksibel dan berorientasikan impak, dengan matlamat bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perubahan, tetapi turut menjadi pemacu perubahan serta pembangunan negara. - Bernama