Festival Edutourism UTHM angkat kampus lestari
FESTIVAL Edutourism UTHM 2026 yang berlangsung sempena Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-69 dan Hari Malaysia 2026 peringkat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi platform pelancaran pelbagai inisiatif penting universiti, sekali gus memperkukuh peranan kampus sebagai destinasi pembelajaran berasaskan pengalaman, budaya dan kelestarian, baru-baru ini.
Program anjuran Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat serta Pejabat Kampus Lestari itu menghimpunkan warga universiti, pelajar, agensi kerajaan dan komuniti, selain menyaksikan pelancaran dua inisiatif strategik utama, iaitu Dekarbonisasi UTHM dan UTHM Edutourism, selaras dengan aspirasi universiti ke arah pembangunan mampan dan kecemerlangan pendidikan.
Festival itu dirasmikan Pegawai Daerah Batu Pahat, Haji Kamalludin Haji Jamal, dan diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian Wau Bulan, persembahan ukulele lagu patriotik, tarian etnik serta Konsert Perpaduan Malaysia.

Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali berkata, Pelan Strategik UTHM 2026–2030 menetapkan tiga mantera utama universiti, iaitu Dekarbonisasi, Keusahawanan dan Pendigitalan sebagai pemacu transformasi universiti.
“Melalui agenda dekarbonisasi, UTHM menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus dan peningkatan kawasan hijau sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030.
“Sasaran ini mencerminkan komitmen universiti untuk menjadi Kampus Karbon Neutral yang bukan sahaja mengutamakan kecemerlangan akademik, malah bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan memerlukan penglibatan menyeluruh warga kampus, merangkumi pengurusan tenaga, air dan sisa, penghijauan serta pembudayaan amalan lestari dalam kehidupan harian.
Pada majlis sama, UTHM turut melancarkan EduTourism@UTHM, inisiatif yang memanfaatkan kekuatan akademik, penyelidikan, biodiversiti serta kemudahan teknologi universiti sebagai produk pelancongan berasaskan pendidikan.
Menurut Mas Fawzi, konsep edutourism yang dibangunkan mampu membuka ruang pembelajaran lebih luas kepada masyarakat.
“Kampus ini bukan sekadar gedung ilmu untuk warganya, tetapi sebuah ruang pembelajaran terbuka kepada masyarakat.
“Kami mahu setiap pengunjung yang datang ke UTHM bukan sahaja melihat kemudahan yang ada, tetapi turut mengalami sendiri proses pembelajaran, inovasi dan amalan kelestarian yang dilaksanakan di universiti,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif seperti UNESCO EcoHydrology Demonstration Site, Edutrail@UTHM, Green Learning Hub, Living Lab dan EcoTrail@UTHM mampu menjadi platform pembelajaran interaktif yang memberikan pengalaman bermakna kepada pelajar sekolah, komuniti serta pelawat dari dalam dan luar negara.
Sementara itu, Kamalludin berkata, UTHM mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara destinasi edutourism negara berasaskan kekuatan pendidikan, teknologi dan kelestarian.
“UTHM memiliki pelbagai aset unik yang boleh diketengahkan sebagai produk edutourism termasuk ekosistem kampus hijau, kemudahan teknologi dan kejuruteraan, elemen TVET, inovasi penyelidikan, biodiversiti serta kepelbagaian budaya warganya.
“Kelebihan ini menjadikan UTHM sebuah destinasi pembelajaran yang menawarkan pengalaman berbeza kepada pelawat,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan yang menggabungkan ilmu, teknologi, alam sekitar dan budaya mampu memperkasakan hubungan antara universiti dengan masyarakat, selain menyokong pembangunan modal insan negara.
“Universiti perlu terus dekat dengan masyarakat, makanya program seperti Edutourism@UTHM membuka peluang kerjasama yang lebih luas melibatkan sekolah, komuniti, industri, agensi kerajaan dan rakan strategik.
“Melalui pendekatan ini, ilmu yang dihasilkan universiti dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh masyarakat secara lebih berkesan,” tambahnya.
Antara kemuncak festival ialah pelancaran rasmi UTHM Edutourism dan Monumen KLCC, selain lawatan imersif ‘Journey Through UTHM Edutourism’ yang membawa tetamu kehormat meneroka lima zon pengalaman serta pavilion yang mengetengahkan kekuatan universiti dalam bidang pendidikan, teknologi, biodiversiti dan inovasi.
Festival itu turut menjadi platform untuk mempromosikan konsep pembelajaran sepanjang hayat serta memperkenalkan UTHM sebagai hab pendidikan yang menghubungkan komuniti, industri dan institusi pendidikan dalam ekosistem lebih inklusif dan mampan.
Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Afandi Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad, FASc; Provost UTHM Pagoh, Profesor Ts. Dr. Abdul Mutalib Leman; Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Sheeren Sabrina Abd Shukor; Bendahari/Ketua Pegawai Kewangan, Ismail Haron; dan Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti), Profesor Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor.
Penganjuran festival itu mencerminkan usaha berterusan UTHM dalam mendukung aspirasi negara melalui pengukuhan budaya patriotisme, pemerkasaan pendidikan berasaskan pengalaman serta pembangunan kampus lestari yang memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara.
