UC TATI buka laluan pelajar ke China
LANDSKAP pendidikan yang semakin berorientasikan tanpa sempadan merentasi benua menuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mengambil peluang bagi memastikan graduan yang dilahirkan mampu bersaing dalam pasaran kerja global yang menjadi dimensi baharu sektor industri ketika ini.
Menyedari keperluan itu, Kolej Universiti TATI (UC TATI) yang berpangkalan di Kemaman, Terengganu memulakan langkah pertama menghantar pelajar ke tanah besar China bagi mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan, sains komputer dan pengurusan perniagaan yang dilihat mempunyai potensi besar mengikut kehendak semasa pemain industri antarabangsa.

Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan UC TATI, Ts. Dr. Mohd Najib Muhamed berkata, hala tuju pendidikan tinggi masa kini memerlukan jalinan kerjasama strategik dengan pemegang taruh antarabangsa yang realistik untuk tempoh jangka panjang bagi memastikan graduan yang dihasilkan kekal relevan mengikut keperluan semasa.
“Kita perlu keluar dari zon selesa sama ada sebagai pemegang taruh dalam sektor pendidikan tinggi mahupun bagi pelajar itu sendiri untuk masa depan masing-masing dalam keperluan industri global masa kini.
“Masing-masing hadir dengan tanggungjawab besar untuk membina generasi baharu yang akan memacu ekonomi mahupun kemajuan untuk tanah air kita ini.
“Kita tidak boleh nafikan yang China sememangnya kuasa besar dunia yang mendahului banyak sektor industri termasuk bidang teknologi yang secara tidak langsung menjadi asas dalam kehidupan seharian masa kini.
“Sebalik ledakan industri teknologi ini juga secara asasnya adalah satu urus niaga perniagaan di peringkat global yang menjadi nilai tambah untuk melahirkan graduan berkaitan yang berkualiti,” katanya.
Tambah beliau, Yayasan Terengganu (YT) turut memainkan peranan besar dalam dimensi baharu pendidikan global bagi pelajar UC TATI, khususnya anak-anak Terengganu, dengan memberi peluang sama rata untuk mereka melangkah ke peringkat pengajian tinggi dalam persekitaran antarabangsa.
Bagi kelompok pertama yang dihantar ke China, seramai sembilan pelajar ditempatkan di Guangzhou Huashang Vocational College (GHVC).

Setiap pelajar berkenaan perlu memulakan pengajian dengan mengikuti bahasa Mandarin bagi menduduki peperiksaan Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK) sebelum meneruskan pengajian khusus peringkat ijazah dalam bidang masing-masing.
