UPSI turun padang, lawan buli dengan COW
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggerakkan pasukan Counselor on Wheels (COW) bagi membantu institusi pendidikan mengatasi isu buli yang semakin serius melalui pendekatan pencegahan, kaunseling serta intervensi awal.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, universiti berkenaan memiliki kepakaran dalam bidang kaunseling, psikologi, pendidikan dan pembangunan sahsiah yang boleh dimanfaatkan untuk mengendalikan isu berkenaan.
"UPSI akan menghantar pasukan kaunseling ke Kuantan dan Batu Pahat untuk membantu pihak institusi pendidikan dalam menguruskan kes buli terbaharu.
"Pendekatan untuk menyelesaikan buli perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada tindakan selepas sesuatu kes berlaku," katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Beliau berkata, inisiatif COW itu menjadi antara sumbangan universiti berkenaan kepada masyarakat, khususnya demi memastikan persekitaran sekolah dan institusi pendidikan di kawasan Ipoh kekal selamat serta kondusif.
Pada masa sama, Md Amin berkata, pasukan COW juga akan membantu melaksanakan program kesedaran dan pendidikan pencegahan buli melibatkan pelajar, guru, kaunselor serta pihak pengurusan institusi pendidikan setempat.
"Pendekatan kaunseling dan pemulihan turut diberikan secara khusus kepada mangsa buli bagi membantu mereka mengurus kesan emosi serta membina semula keyakinan diri," katanya.
Naib Canselor UPSI itu berkata, isu buli tidak wajar dilihat sebagai masalah disiplin semata-mata kerana ia berkait dengan aspek emosi, psikologi, hubungan sosial dan pembentukan sahsiah pelajar.
Beliau berkata, pembentukan budaya saling menghormati, empati, adab dan tanggungjawab perlu dimulakan sejak di bangku sekolah dengan pembabitan pelbagai pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Sementara itu, Pengarah Pusat Kaunseling UPSI Dr Pau Kee berkata setakat ini, inisiatif COW digerakkan ke 38 lokasi melibatkan kerjasama pelbagai agensi, komuniti dan sekolah.
Beliau berkata, sebanyak 10,350 individu mendapat manfaat daripada perkhidmatan itu yang turut menerima pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBOR) sebagai Program Kaunseling Kesihatan Mental Bergerak Pertama di Malaysia.
"Antara perkhidmatan ditawarkan merangkumi sesi kaunseling individu, sokongan kelompok, saringan kesejahteraan mental, pentaksiran psikologi serta psikopendidikan pencegahan buli dan anti-gangguan seksual," katanya. - Bernama
