DI SEBALIK kemeriahan pendaftaran pelajar baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi Sesi Akademik 2026/2027, terselit kisah penuh ketabahan seorang pelajar yatim piatu yang hadir dengan semangat luar biasa demi mengubah masa depan hidupnya.

Bagi Norsyazwina Qistina Putri Nawi, 20, langkahnya ke menara gading bukan sekadar untuk melanjutkan pengajian, sebaliknya menjadi simbol perjuangan seorang anak yang membesar tanpa kedua-dua ibu dan bapa.

Kini, beliau mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) di UMT.

Walaupun berdepan kehidupan serba kekurangan, Norsyazwina tetap cekal meneruskan perjalanan akademiknya dengan sokongan adik-beradik yang menjadi tulang belakang utama kehidupannya.

- Advertisement / Iklan -

“Saya di bawah tanggungan abang dan kakak saya. Saya tinggal di rumah arwah mak dan ayah bersama kakak pertama dan kakak ketiga, tetapi yang banyak menanggung saya ialah abang saya yang bekerja sebagai anggota Polis Marin di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui pada hari pendaftaran pelajar baharu UMT, baru-baru ini.

Menurut Norsyazwina, kehilangan ibunya pada 20 September 2025 akibat disyaki kanser rahim, diikuti pemergian bapanya pada 23 April 2026 akibat penyakit jantung, memberi kesan besar dalam hidupnya.

- Advertisement / Iklan -

Namun, kehilangan kedua-dua ibu bapanya tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk terus melangkah ke hadapan.

“Walaupun susah, saya tetap mahu terus belajar kerana ini sahaja harapan untuk mengubah hidup saya dan keluarga,” katanya penuh sebak.

Kisah ketabahan anak keenam daripada tujuh beradik itu menjadi lambang kekuatan generasi muda yang tidak mudah menyerah walaupun diuji dengan kehilangan kedua-dua insan tersayang serta cabaran kewangan.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad bersama salah seorang pelajar Baharu yang berstatus OKU.
Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad bersama salah seorang pelajar Baharu yang berstatus OKU.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad, berkata kisah seperti itu mencerminkan realiti sebahagian pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi dan menjadi tanggungjawab universiti untuk memastikan tiada pelajar tercicir daripada pendidikan akibat latar belakang keluarga atau cabaran hidup.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad turut menyantuni keluarga di Kolej Kediaman.
Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad turut menyantuni keluarga di Kolej Kediaman.

“UMT sentiasa komited menyediakan ekosistem pembelajaran yang inklusif dan prihatin. Norsyazwina juga merupakan penerima Bantuan Awal Pengajian Bingkas Kasih.

“Kami percaya setiap pelajar mempunyai potensi untuk berjaya apabila diberi peluang, sokongan dan bimbingan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa UMT akan terus memperkukuh jaringan kebajikan pelajar melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan kesejahteraan mahasiswa sentiasa terpelihara sepanjang tempoh pengajian.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad sedang menyantuni keluarga pelajar yang hadir.
Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad sedang menyantuni keluarga pelajar yang hadir.