GIC, UGM buka laluan pengajian tinggi buat pelajar Malaysia
PELAJAR Malaysia kini berpeluang meneroka laluan pendidikan tinggi di Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia menerusi kerjasama strategik bersama Kolej Antarabangsa Goon (GIC).
Kerjasama itu memberi fokus kepada peluang melanjutkan pengajian di UGM untuk pelajar dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sekali gus menyediakan laluan pendidikan yang lebih jelas kepada mereka yang berhasrat meneruskan pengajian di luar negara.
Menariknya, GIC turut menawarkan peluang biasiswa kepada pelajar terpilih yang mengikuti Program Asasi Sains, khususnya mereka yang mencatat pencapaian akademik cemerlang dan berpotensi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Antara bidang yang berpotensi diterokai menerusi laluan itu termasuk Sarjana Muda Perubatan (MBBS), Sarjana Muda Pergigian, Sarjana Muda Farmasi dan Sarjana Muda Perubatan Veterinari.
Pengarah GIC, P. Prabagaran berkata, kerjasama itu menyasarkan pengambilan 100 pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di UGM pada Januari tahun depan.
Menurutnya, inisiatif berkenaan juga bertujuan memperkenalkan lebih banyak pilihan laluan pendidikan kepada pelajar tempatan.
“Kami mahu pelajar memahami bahawa terdapat pelbagai laluan untuk mereka melanjutkan tahap pendidikan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.
“Melalui kerjasama ini, kami mengharapkan peluang pendidikan ini akan lebih mudah diakses,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Kerjasama Strategik GIC dan UGM di Goon International College,pada Selasa yang turut menghimpunkan wakil kedua-dua institusi serta Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur.
Prabagaran berkata, peluang biasiswa yang ditawarkan GIC turut menjadi antara usaha untuk menyokong pelajar berprestasi tinggi meneruskan pengajian mereka.
“GIC juga akan menawarkan peluang biasiswa kepada pelajar terpilih yang mengikuti Program Asasi Sains.
“Inisiatif ini bagi memberikan sokongan tambahan kepada pelajar yang menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang,” katanya.
Sementara itu, Dekan Jabatan Anatomi UGM, Prof. Teguh Budipitojo menyambut baik kerjasama berkenaan yang dilihat mampu memperkukuh hubungan pendidikan antara Malaysia dan Indonesia.
Menurutnya, pelajar Malaysia berpeluang mendapatkan akses lebih luas kepada pengalaman akademik dan pembelajaran antarabangsa di UGM.
“Kami berharap kerjasama ini dapat memberikan pelajar Malaysia akses lebih luas kepada peluang akademik, maklumat serta pengalaman pembelajaran antarabangsa di UGM.
“Ketika ini, terdapat kira-kira 70 pelajar Malaysia di Jabatan Anatomi UGM. Saya percaya melalui kerjasama ini, jumlah pelajar akan bertambah.
“Ini sangat baik untuk sektor pendidikan Malaysia-Indonesia,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama itu juga berpotensi diperluaskan kepada penglibatan akademik, mobiliti pelajar serta bentuk kerjasama institusi lain pada masa hadapan.
