PERSEPSI masyarakat bahawa universiti merupakan satu-satunya tempat untuk membangunkan bakat dan menentukan kejayaan golongan muda perlu diubah, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknikal turut membuka laluan kerjaya kepada golongan muda, termasuk mereka yang kurang menyerlah dalam bidang akademik.

"Sejak dua tahun kebelakangan ini, kita sering menceritakan kepada rakyat bahawa universiti bukan satu-satunya tempat untuk mereka melanjutkan pelajaran, tetapi kita juga ada institusi kemahiran lain seperti politeknik dan kolej komuniti yang menawarkan sijil kemahiran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Selama ini, masyarakat beranggapan politeknik adalah pilihan kedua jika tidak dapat masuk ke universiti, namun sekarang permohonan untuk masuk ke politeknik mencapai 132 peratus berbanding 60 hingga 70 peratus sebelum ini," katanya.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata demikian pada sesi Dialog "Teknologi Memacu Perubahan: Adakah Bakat Malaysia Bersedia?" sempena Majlis Pelancaran Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Inisiatif Pembangunan Bakat Strategik di Angkasapuri, pada Isnin.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkongsi pandangan pada sesi dialog sempena Majlis Pelancaran Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M FSF) serta Inisiatif Pembangunan Bakat Strategik di Angkasapuri.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkongsi pandangan pada sesi dialog sempena Majlis Pelancaran Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M FSF) serta Inisiatif Pembangunan Bakat Strategik di Angkasapuri.

- Advertisement / Iklan -

Zambry berkata, pendekatan pengajaran di institusi kemahiran juga sedang diperkasakan bagi memenuhi keperluan negara terhadap tenaga kerja teknikal, termasuk usaha kerajaan melahirkan 60,000 jurutera.

Beliau berkata, bidang teknikal dan kejuruteraan tidak semestinya bergantung kepada kelayakan ijazah semata-mata, sebaliknya turut memerlukan tenaga mahir yang mengikuti latihan berkaitan kejuruteraan di institusi kemahiran.

Malah, katanya, pelajar aliran sastera yang mempunyai minat dan potensi turut diberi peluang menceburi bidang berkenaan menerusi program intervensi bersesuian. Setakat ini politeknik berjaya melatih 447 pelajar menerusi program diploma kejuruteraan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata isu ketidakpadanan kemahiran perlu diberi perhatian apabila 37 peratus daripada 16.8 juta tenaga kerja negara merupakan pekerja berkemahiran yang tidak bekerja berdasarkan data suku kedua tahun ini.

Beliau berkata, keadaan itu antara lain berpunca daripada kekurangan peluang pekerjaan, ketidakpadanan kemahiran serta tawaran gaji yang kurang menarik dalam bidang tertentu, justeru pendekatan future-proof talent perlu diperkasakan bagi memastikan kemahiran tenaga kerja dapat diselaraskan lebih awal dengan keperluan pekerjaan masa depan.

Dalam usaha memperkukuh pembangunan tenaga kerja, beliau berkata Kementerian Sumber Manusia memperkenalkan Dasar Sumber Manusia 2026-2035 yang memberi tumpuan kepada empat aspek, iaitu pekerjaan lebih produktif, perkembangan kerjaya, pendapatan lebih bermakna dan perlindungan sewajarnya.

Bagaimanapun, Khairul Firdaus berkata, keberkesanan dasar itu perlu disokong pembangunan infrastruktur yang lebih seimbang antara negeri bagi memastikan peluang pekerjaan dan pembangunan bakat tidak hanya tertumpu di Lembah Klang. - Bernama