Mohamad Amar Aidid dinobatkan Tokoh Siswa Negara 2026
TIDAK pernah terlintas dalam fikiran Mohamad Amar Aidid Mohd Zain bahawa langkahnya menyertai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) akhirnya membawanya ke pentas Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026.
Pelajar UUM itu dinobatkan sebagai penerima ATSN 2026 berdasarkan daya kepimpinan cemerlang ketika menerajui MPP UUM bagi sesi 2024/2025 serta Timbalan Ketua Penerangan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).
Bagi anak kelima daripada enam beradik itu, pengiktirafan berkenaan bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya hasil sokongan keluarga dan rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa menjadi kekuatan sepanjang perjalanan kepimpinannya.
“Ketika pertama kali saya menjejakkan kaki ke dalam MPP, saya tidak pernah bermimpi pun untuk berada di sini.
“Namun, Alhamdulillah, perancangan Allah itu sebaik-baik perancangan dan hari ini saya diberikan satu anugerah yang bagi saya cukup besar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis ATSN 2026, pada Khamis.

ATSN 2026 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi Mohamad Amar, latar belakang keluarga B40 yang dilaluinya sejak kecil menjadi antara pencetus utama untuk beliau terus memperjuangkan kebajikan mahasiswa, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan.
“Saya lahir dan dibesarkan dalam denyut nadi mahasiswa daripada keluarga sebegitu, jadi saya memahami keadaan rakan-rakan yang melalui cabaran sama.
“Apabila saya masuk universiti, saya melihat ada tanggungjawab untuk membantu rakan-rakan lain terutama daripada keluarga B40 yang memerlukan,” katanya.
Mohamad Amar dibesarkan oleh ibuny selepas bapanya meninggal dunia pada 2012.
Sebagai anak kelima daripada enam beradik, beliau turut bergantung kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membiayai pengajian.
Namun, keadaan itu tidak menghalangnya daripada berusaha mencari pendapatan sendiri bagi menampung keperluan pengajian dan membantu keluarga.
Malah, beliau mula menceburi bidang perniagaan sejak Tingkatan Tiga dan pernah melakukan kerja sambilan dalam bidang dandanan serta penggayaan rambut.
Pendapatan daripada pekerjaan itu digunakan untuk menampung keperluan sepanjang pengajian, selain membantu ibunya dan keluarga.
Lebih menarik, pengalaman mencari sumber pendapatan sendiri turut mendorongnya membuka peluang kepada mahasiswa lain yang berdepan kesukaran kewangan.
“Saya buat secara sambilan dan dalam masa sama, saya ajak mahasiswa daripada kalangan B40 untuk bekerja bersama saya.
“Saya rasa sekurang-kurangnya kami dapat membantu mereka memperbaiki sumber ekonomi dan kehidupan mereka,” katanya.
Dalam kesibukan membahagikan masa antara pengajian, keluarga, pekerjaan sambilan dan tanggungjawab sebagai pemimpin mahasiswa, beliau mengakui perkara itu bukan sesuatu yang mudah.
Bagaimanapun, beliau menganggap tanggungjawab tersebut perlu dilaksanakan sebaik mungkin selepas memilih untuk berada dalam dunia kepimpinan mahasiswa.
Antara pencapaian utama beliau termasuk memimpin Kempen Solidariti Mangsa UPSI Nahas Gerik yang berjaya mengumpulkan dana bantuan sebanyak RM290,651.51.
Menurutnya, kejayaan yang dicapai tidak wajar dilihat sebagai kejayaan individu kerana ia turut melibatkan sokongan pasukan MPP UUM serta rakan-rakan dalam Jawatankuasa Tindakan Ekonomi Mahasiswa UUM.
“Bagi saya, kejayaan ini bukan kejayaan individu, tetapi kejayaan UUM dan kejayaan semua mahasiswa.
“Saya sudah berjanji kepada diri sendiri untuk memberikan sepenuhnya diri saya kepada masyarakat, universiti dan negara serta mengembalikan khidmat bakti kepada negara,” katanya.
ATSN 2026 merupakan platform pengiktirafan tertinggi negara kepada mahasiswa dan badan pelajar yang mempamerkan kecemerlangan dalam kepimpinan, akademik serta sumbangan berimpak tinggi kepada komuniti dan negara.
Dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selaku tuan rumah, ATSN 2026 merupakan penjenamaan semula Anugerah Tokoh Siswa yang diperkenalkan sejak 2012.
