KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sentiasa menambah baik dan menaik taraf program ditawarkan di Politeknik dan Kolej Komuniti mengikut perkembangan serta keperluan semasa industri.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, usaha itu selaras dengan hasrat KPT untuk terus memperkasakan agenda pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan graduan institusi itu dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan industri.

"Sebagai contoh, saya dimaklumkan program Diploma in Digital Construction Technology akan diwujudkan di Politeknik Melaka yang dapat dimanfaatkan pelajar baharu.

"Malah pihak Politeknik Melaka juga telah dihubungi industri yang berminat untuk menjalin kerjasama berpanjangan sebaik program itu bermula sekali gus memastikan peluang graduan untuk masuk ke industri terlibat lebih mudah," katanya kepada Bernama di Politeknik Melaka di sini hari ini.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata demikian selepas merasmikan PTE (Professional and Technical Education) Carnival @ PKM (Politeknik Melaka) 2026 yang turut dihadiri Pengarah Politeknik Melaka Dr Noriah Abdul Malek.

Adam Adli berkata, inisitif berkenaan penting bagi terus memastikan kadar kebolehpasaran graduan TVET dari institusi berkenaan dapat terus dikekalkan pada tahap lebih 90 peratus.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, berdasarkan kaji selidik, terdapat graduan TVET dari Politeknik dan Kolej Komuniti berjaya memasuki industri teknologi atau berimpak tinggi mampu meraih gaji lumayan dan secara tidak langsung pencapaian itu menepis stigma sesetengah pihak bahawa TVET pilihan kedua untuk melanjutkan pengajian.

"Di bawah kerangka agenda TVET Negara dan Dasar TVET Negara 2030, TVET bukan lagi pilihan kedua sebaliknya merupakan pilihan utama dan pendorong teras kepada transformasi ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi tinggi," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyeru agar produk inovasi projek tahun akhir pelajar yang berdaya saing dan berimpak tinggi didaftarkan di bawah harta intelek (IP) dan produk komersial dengan kerjasama unit keusahawanan institusi itu atau rakan strategik industri bagi memastikan produk berkenaan dapat memberi manfaat kepada pelajar, komuniti atau golongan sasar.

"Seiring dengan kemajuan teknologi terkini, pelajar khususnya daripada aliran TVET digalakkan menjadi pencipta teknologi dan bukannya sekadar pengguna agar lebih banyak produk dapat dikeluarkan dan memberi manfaat kepada pengguna lain," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, KPT telah meluluskan peruntukan sebanyak RM12,400 di bawah inisiatif Dapur Siswa MADANI kepada Politeknik Melaka bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terbela khususnya akses mendapatkan makanan percuma lebih mudah. - Bernama