Raja Permaisuri Agong berangkat ke Forum Intelektual Diraja UTM
RAJA Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini berkenan berangkat ke Forum Intelektual Diraja UTM 2026 bertemakan "Adab dan Akal Dalam Dunia Digital Membina Masyarakat Berhemah".
UTM dalam kenyataan memaklumkan Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor yang juga Pro-Canselor universiti itu turut berkenan berangkat ke forum tersebut yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.
Memasuki siri kelima penganjurannya, tema tahun ini mengangkat keperluan mengimbangi kemajuan kecerdasan buatan (AI), media sosial dan inovasi berasaskan data dengan adab, pemikiran kritis serta tanggungjawab.
"Perbincangan yang diketengahkan memberikan tumpuan kepada isu berita palsu dan deepfake, pengaruh algoritma, buli siber, integriti penggunaan AI, kesejahteraan mental dan pembentukan jati diri generasi muda," menurut kenyataan itu.

Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah dan universiti, ahli akademik, agensi kerajaan, pemain industri serta masyarakat umum.
UTM memaklumkan forum itu diterajui oleh Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM dengan kerjasama rakan strategik, iaitu Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan Perbadanan Islam Johor.
Naib Canselor UTM Profesor, Dr Mohd Shafry Mohd Rahim dalam sembah ucapannya berkata kemajuan teknologi perlu sentiasa dipandu oleh akal dan adab, dan seharusnya memperkasakan pemikiran manusia, bukannya menggantikan daya fikir, menghakis integriti akademik atau mengetepikan pertimbangan moral.
Forum itu menampilkan ahli panel terdiri daripada Profesor Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy daripada Universiti Malaya, doktor psikiatri dan kesihatan mental Dr Fakrul Azren Azhar serta pelajar Sarjana Pengajian Islam Akademi Tamadun Islam UTM Ustaz Mohd Hambali Abd Rahman, dengan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM Profesor Dr Arieff Salleh Rosman sebagai moderator.
Menurut UTM, perbincangan forum itu mengetengahkan kaedah teknologi menguji nilai, kesejahteraan jiwa dan keupayaan manusia dalam membuat pertimbangan, sebelum beralih kepada cadangan tindakan pada pelbagai peringkat.
"Pendekatan ini menegaskan bahawa masyarakat bukan sahaja perlu celik digital, malah berupaya menilai, memilih dan menggunakan teknologi secara bijaksana dan bertanggungjawab," menurut kenyataan itu.

UTM memaklumkan forum berkenaan turut membawakan Showcase AI Transliterasi Manuskrip, iaitu projek UTM yang memperagakan penggunaan AI dalam mentransliterasi manuskrip Melayu Johor daripada Jawi kepada Rumi.
"Berteraskan Digital Humanities, projek ini menggabungkan teknologi dan kemanusiaan bagi memperluas akses kepada khazanah ilmu, di samping memelihara kesahihan sumber, konteks budaya dan hak berkaitan," menurut kenyataan itu.
Dapatan kajian tentang penggunaan gajet turut dipamerkan yang menunjukkan manfaatnya dalam membantu pelaksanaan tugasan dan pemerolehan ilmu, namun pada masa sama dikaitkan dengan keletihan, penurunan motivasi, kekurangan aktiviti fizikal serta gangguan terhadap ibadah.
"Dapatan tersebut turut diterjemahkan menerusi penerbitan dua buku, Gajet dan Masa Depan Remaja Malaysia dan Jiwa Digital Muslim: Panduan Etika Media Sosial. Setiap peserta memperoleh satu naskhah Jiwa Digital Muslim yang didanai wakaf ilmu Waqaf An-Nur Corporation Berhad sebagai usaha memperluas pendidikan etika digital berteraskan nilai Islam," menurut kenyataan itu.
UTM memaklumkan penganjuran forum itu selari dengan teras Humanity and Well-being dalam Pelan Strategik UTM ASCEND 2030, iaitu menghubungkan kecemerlangan ilmu dengan kesejahteraan insan.
"Forum berkenaan turut menyokong aspirasi negara untuk memperkukuh bakat dan kepercayaan dalam ekosistem AI serta agenda Maju Johor 2030 yang menekankan inovasi, jati diri dan pembangunan berpusatkan rakyat," menurut kenyataan itu. - Bernama