SEBANYAK 27 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 daripada 18 universiti awam menerima tajaan dalam bentuk yuran pengajian bagi mengikuti pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Inisiatif itu dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) untuk memastikan kecemerlangan akademik diteruskan ke peringkat pendidikan tinggi, serta membuka ruang kepada bakat muda negara membina masa depan yang lebih baik.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tajaan berkenaan diberikan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang pelajar dalam peperiksaan STPM 2025, selain sebagai usaha kerajaan menyokong potensi mereka untuk terus berjaya dalam bidang masing-masing.

Beliau berkata, tajaan itu meliputi pelbagai bidang pengajian termasuk bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan dan pendidikan.

- Advertisement / Iklan -

"Pada peringkat KPT, kita mengambil pelajar yang terbaik seluruh negara yang mempunyai kelayakan terbaik pada peringkat STPM dan memberikan biasiswa penuh kepada mereka, iaitu tuition free (tuisyen percuma).

"Ini melibatkan pelbagai bidang termasuk bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, pendidikan dan lain-lain lagi," katanya selepas majlis serahan surat tajaan yuran pengajian kepada pelajar STPM MPM, pada Isnin.

- Advertisement / Iklan -

Zambry berkata, pengiktirafan itu turut diberikan tanpa mengira latar belakang kaum selaras dengan usaha kerajaan memastikan pelajar yang mencapai kecemerlangan akademik mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.

"Saya dapat saksikan kegembiraan mereka dan juga dalam kalangan ibu bapa mereka. Saya rasa berbangga dengan kejayaan mereka yang melibatkan semua kaum dalam negara kita. Mereka yang mencapai kejayaan cemerlang ini kita berikan pengiktirafan dan mereka menyambung pelajaran mereka di universiti-universiti tempatan kita," katanya.

Beliau berkata tajaan itu diberikan kerana kerajaan percaya penerima mempunyai potensi untuk terus menyerlah dan menyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan.

Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi MPM yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata tajaan yuran pengajian ialah satu bentuk kepercayaan terhadap potensi anak-anak muda yang cemerlang.

Beliau berkata, tajaan itu bukan sekadar bantuan, tetapi sebagai pelaburan terhadap ilmu, bakat dan yang paling penting masa depan negara.

"MPM kekal komited memastikan STPM dilaksanakan dengan standard pentaksiran yang tinggi, berintegriti, dan diyakini.

"Selaras dengan landskap pendidikan global, MPM akan terus memperkukuh penyelidikan, psikometrik, inovasi pentaksiran, pendigitalan serta jaringan strategik antarabangsa bagi meningkatkan daya saing, kredibiliti dan kebolehbandingan STPM dalam ekosistem pendidikan tinggi global," katanya. - Bernama