Dari arena sukan, UMPSA gilap bakat masa depan
UNIVERSITI Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya sebagai platform pembangunan bakat apabila menjadi tuan rumah Kejohanan Pingpong Universiti Asia 2026 yang menghimpunkan atlet dari 10 negara dan wilayah.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, kejohanan sukan universiti bukan sekadar medan untuk menentukan pemenang sebaliknya berperanan membentuk generasi muda yang mempunyai disiplin, ketahanan diri, kepimpinan dan semangat kesukanan.
Ahli Parlimen Paya Besar itu berkata, sukan bagaikan diplomasi golongan muda iaitu menjadi bahasa sejagat yang mampu merapatkan hubungan antara masyarakat dari pelbagai negara, bahasa dan budaya.
"Golongan muda bukan sekadar pemimpin masa hadapan tetapi anda semua adalah penggerak perubahan pada hari ini," katanya ketika berucap merasmikan kejohanan itu di Kompleks Sukan UMPSA, Paya Besar pada Ahad.

Beliau berkata, temasya sukan di peringkat universiti menyediakan penanda aras antarabangsa untuk atlet mahasiswa dengan mendedahkan mereka kepada pelbagai gaya permainan dan tahap persaingan lebih tinggi.
Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata, penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa mampu memberikan manfaat yang melangkaui gelanggang pertandingan menerusi sektor pelancongan, hospitaliti, pengangkutan, penyiaran, teknologi dan perusahaan tempatan.
Beliau berkata, manfaat ekonomi bagaimanapun tidak berlaku secara automatik dan perlu dirancang menerusi hubungan kukuh dengan pemain serta pengurusan acara yang berkesan.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA Profesor Dr Yatimah Alias berkata kejohanan itu adalah satu pengiktirafan terhadap kemampuan universiti berkenaan dalam menyediakan kemudahan, prasarana dan ekosistem yang menyokong penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.
"Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja memperlihatkan keupayaan UMPSA sebagai institusi pengajian tinggi yang mampu mengendalikan acara di peringkat antarabangsa malah memberikan pengalaman berharga kepada warga universiti untuk berinteraksi dengan atlet dan delegasi dari pelbagai negara," katanya.

Kejohanan itu menghimpunkan seramai 104 atlet dan pegawai dari 10 negara dan wilayah iaitu Brunei, Taiwan, Hong Kong, Mongolia, Nepal, China, Korea Selatan, Australia, Malaysia dan Kuwait yang bersaing dalam pelbagai kategori pertandingan yang berlangsung dari 5 hingga 11 September. - Bernama
