BUKAN sekadar berlakon, penglibatan kumpulan pelajar dan alumni Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA) di bawah Angkatan Seni Budaya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam Teater Muzikal Tomyam Berdarah menjadi platform untuk mereka mengasah kemahiran produksi dan menimba pengalaman secara langsung dalam industri seni persembahan.

Pementasan hasil kerjasama Pusat Kebudayaan USIM dan CTRA Production itu turut menggabungkan bakat muda daripada USIM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama pelakon profesional, Karl Shafek dan Juhara Ayob.

Penglibatan pelajar USIM dalam karya berkenaan bukan sesuatu yang baharu apabila naskhah Tomyam Berdarah pernah dipentaskan oleh kumpulan ATRA dalam Festival Teater Sagara ASEAN 2025 di Universitas Indonesia, malah berjaya meraih anugerah Produksi Terbaik dan Penataan Bunyi Terbaik.

Pengarah merangkap penulis skrip, Aloeng Silalahi, yang juga tenaga pengajar di USIM, berkata penglibatan pelajar dan alumni ATRA dalam pementasan itu memberi ruang kepada mereka untuk terus mengembangkan bakat serta kemahiran produksi.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, sesi latihan bagi kumpulan pelajar berkenaan tidak memerlukan tempoh yang panjang kerana mereka sudah beberapa kali menjayakan pementasan Tomyam Berdarah dalam versi berbeza, namun proses penambahbaikan tetap dilakukan terutama dari segi lagu dan koreografi.

Aloeng yang dikenali sebagai penggiat teater dengan karya-karya eksperimental dan berani menyifatkan Teater Muzikal Tomyam Berdarah sebagai naskhah baharu dalam siri pementasan jenayah interaktif.

- Advertisement / Iklan -

“Dicipta dengan gabungan naratif satira, struktur muzikal dan pendekatan site-responsive, pementasan ini merentas tema kuasa, warisan, isu toksik di tempat kerja dan nilai kemanusiaan yang terpendam di balik dapur sebuah restoran.

“Ringkasnya, Teater Muzikal Tomyam Berdarah bukan sekadar cerita tentang kematian, tetapi mengenai hidup yang ‘direbus’ bersama harapan, dendam dan identiti – semua itu disajikan di dalam satu periuk tomyam,” ujarnya.

Bertambah menarik, menerusi teater ini, penonton cilik dan remaja berupaya membina pemikiran tangkas apabila perlu bertindak sebagai ‘penyiasat’ dalam menganalisis dan mencari jawapan mengenai siapakah dalang sebenar.

Dari sudut persembahan, Teater Muzikal Tomyam Berdarah menggabungkan elemen kulinari, komedi, muzik, kreativiti generasi muda serta pendekatan teater interaktif.

Pada masa sama, pementasan berkenaan turut membawa mesej lebih besar mengenai potensi bidang kulinari yang semakin berkembang, khususnya dalam industri makanan dan minuman (F&B).

No Image Caption

Penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Attan, berkata bidang kulinari tidak lagi terhad kepada kemahiran memasak semata-mata, sebaliknya merangkumi elemen kreativiti, seni, teknikal dan inovasi yang berupaya menjana pendapatan serta memperkukuhkan industri F&B negara.

“Kebiasaannya, sebut saja aktiviti memasak kita hanya membayangkan ruang dapur di rumah, sedangkan industri F&B ini luas apabila diterokai dengan sebaik-baiknya.

“Menerusi platform kulinari juga anak-anak muda berpeluang menjadi cef di hotel atau restoran terkemuka, cef selebriti, bergelar usahawan produk makanan atau minuman, pengusaha restoran ataupun aktif sebagai pempengaruh makanan media sosial.

“Justeru, melihat potensi bidang kulinari membantu membina kerjaya terbaik dan popularitinya sering diangkat baik dalam drama tempatan mahupun luar negara, maka CTRA Production turut mengambil tema serupa dengan menerapkan elemen mendidik sambil berhibur,” katanya.

Inisiatif berkenaan turut menjadi salah satu bentuk sokongan terhadap usaha kerajaan yang sentiasa proaktif memperkasakan dan mengasah kemahiran generasi muda dalam bidang kulinari di bawah sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga ke tahap profesional.

Majlis pelancaran Teater Muzikal Tomyam Berdarah disempurnakan tokoh dan budayawan yang banyak menyumbang dan memperjuangkan institusi bahasa dan kebudayaan negara, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan di Istana Budaya, baru-baru ini.

Teater Muzikal Tomyam Berdarah dipentaskan selama tiga hari berturut-turut di Panggung Seni, UKM, Bangi, Selangor, bermula 28 hingga 30 Ogos 2026, dengan pementasan dijadualkan pada sesi petang dan malam dan tiket ditawarkan pada harga RM25 dan RM35.